Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengganas paling dikehendaki FBI diberkas di UK

    MOSCOW, 27 NOV – Seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang tersenarai dalam Pengganas Paling Dikehendaki FBI, ditahan di United Kingdom (UK) selepas melarikan diri selama lebih dua dekad, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik jurucakap Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA).

    Lelaki itu, Daniel Andreas San Diego, 46, yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kumpulan hak asasi haiwan, dikehendaki di AS atas serangan pengganas yang dilakukannya di California pada 2003.

    Dia dimasukkan ke dalam senarai paling dikehendaki pada 2009, dengan ganjaran sebanyak AS$250,000 untuk maklumat mengenai keberadaannya.

    “Pegawai dari NCA, dengan sokongan rakan sekerja dari unit polis antipengganas dan Polis Utara Wales, menahan Daniel Andreas San Diego, berusia 46 tahun, di kawasan Conwy, Wales, atas permintaan pihak berkuasa AS,” lapor akhbar The Times yang memetik kenyataan jurucakap itu semalam.

    San Diego dilaporkan ditangkap pada Isnin di kawasan pedalaman dan telah dibawa ke mahkamah untuk memulakan proses ekstradisi ke AS. – Bernama

    Gambar Daniel San Diego dalam poster rasmi FBI semasa satu sidang media yang diadakan pada 21 April 2009 di Ibu Pejabat FBI, Washington. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda