NEW YORK, 2 Nov – Seorang penghijrah Uzbek yang menjadi dalang serangan paling teruk di New York dalam tempoh 16 tahun, mengaku bertindak dengan menggunakan nama kumpulan Islam IS dan ‘merasa puas’ dengan pembunuhan itu, setelah merancang serangan itu selama setahun, menurut para penyiasat semalam.
Butiran mengejutkan itu muncul ketika pihak pendakwa persekutuan memfailkan dakwaan pengganasan ke atas Sayfullo Saipov, yang kemudiannya muncul di mahkamah dengan berkerusi roda – dia telah ditembak di bahagian perut oleh pihak polis – 24 jam selepas merempuh pejalan-pejalan kaki dan penunggang-penunggang basikal, dan bertembung dengan sebuah bas sekolah.
Serangan itu telah mengorbankan lapan orang, lima daripada mereka rakan-rakan zaman kanak-kanak dari Argentina yang meraikan 30 tahun sejak menamatkan persekolahan tinggi mereka, seorang ibu warga Belgium berusia 31 tahun, dua orang lelaki AS, dari New York dan dari negeri jiran New Jersey.
Sebelum menetap pada dua bulan lalu, Saipov pada mulanya merancang serangan itu setahun lalu dengan menggunakan trak untuk membunuh orang ramai seramai mungkin ketika sambutan Halloween, menurut aduan pengganasan persekutuan.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P16-A_031117.jpg)
Pihak pendakwa mendedahkan dakwaan itu dengan berkata bahawa dia telah mengetepikan haknya dan mengaku mendapat inspirasi daripada propaganda IS selepas melaungkan Allahu Akbar sebaik keluar dari trak yang disewa di Lower Manhattan.
“Saipov telah melakukan serangan ini dalam menyokong ISIS,” pemangku peguam Manhattan AS, Joon Kim mengumumkan dengan menggunakan akronim itu untuk merujuk kepada kumpulan pejuang jihad Islam IS.
Siasatan mendapati serangan tersebut “masih di peringkat awal,” dan para penyiasat tidak mempunyai maklumat lengkap, kata Pesuruhjaya NYPD James P. O’Neill pada sidang akhbar itu.
Dia tidak dikehendaki membuat akuan dan selepas itu dihantar ke pusat tahanan persekutuan, berkemungkinan besar di New York, seorang jurucakap pejabat peguam AS memberitahu AFP. – AFP