THE HAGUE, 18 Mac – Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke atas sebuah trem di bandar Utrecht, Belanda hari ini, membunuh sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan beberapa yang lain dalam apa yang diperkatakan pegawai sebagai kemungkinan insiden pengganas.
Sekujur mayat yang dilitupi kain dilaporkan telah dilihat di atas landasan tatkala pasukan polis dan perkhidmatan kecemasan mengerumuni kawasan di sekitar kejadian di salah sebuah bandar terbesar di Belanda itu.
Polis berkata penyerang masih melarikan diri selepas berlakunya insiden tersebut.
“Kejadian tembakan berlaku di 24 Oktoberplein di Utrecht, beberapa orang telah tercedera. Kawasan sekeliling telah ditutup dan kami sedang menyiasat kes berkenaan,” kata polis Utrecht di Twitter.
“Ia adalah insiden tembakan di dalam sebuah trem. Beberapa buah helikopter kecemasan telah dikerah untuk memberikan bantuan.”
Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte telah membatalkan satu pertemuan bersama pakatan pemerintahnya dan diberikan penerangan ringkas berhubung situasi yang berlaku,” menurut para pegawai.
Polis kemudiannya berkata bahawa “satu kemungkinan motif pengganas menjadi sebahagian siasatan.”
Ketua Perkhidmatan AntiPengganasan Kebangsaan Belanda (NCTV), Pieter-Jaap Aalbersberg berkata dia sedang menghadapi ‘konsultasi krisis’ berhubung insiden tersebut. – AFP
