SYDNEY, 3 Nov – Seorang lelaki Australia berusia 22 tahun yang digambarkan sebagai ‘pengganas setia’ telah dijatuhi hukuman penjara 22 tahun hari ini kerana merancang serangan ke atas bangunan-bangunan kerajaan di Sydney ketika pihak berkuasa berdepan dengan kebangkitan pengganasan pejuang Islam tempatan.
Sulayman Khalid telah dijatuhi hukuman di Mahkamah Tinggi New South Wales selepas mengaku bersalah berkomplot untuk bertindak dalam persiapan bagi serangan pengganas.
Dia diberkas ketika siri-siri serbuan polis di Sydney dan Brisbane pada lewat 2014.
Empat orang lagi, termasuklah seorang remaja yang tidak didedahkan namanya, telah dijatuhi hukuman penjara antara sembilan dan 18 tahun bagi kesalahan serupa atau kecil – seperti dengan niat membuat dokumen berkaitan dengan persiapan tindakan pengganas.
Khalid ‘memegang peranan menyelaras’ dalam komplot itu, Hakim Geoffrey Bellew menulis dalam perintahnya.
“Dalam kesalahan seperti yang dilakukannya, Khalid memperlihatkan dia adalah pengganas setia,” tambahnya lagi.
Canberra telah semakin bimbang dengan pengganasan tempatan dan para pegawai berkata mereka telah mencegah 13 serangan ganas dalam beberapa tahun kebelakangan.
Namun beberapa serangan telah berlaku, termasuklah pembunuhan seorang kakitangan polis Sydney pada tahun 2015 oleh seorang remaja berusia 15 tahun, yang kemudian dibunuh dalam drama berbalas-balas tembakan dengan para pegawai.
Dalam perintahnya, Bellew berkata Khalid berpegang pada ‘ideologi agama Wahhabi-Salafisme’1. – AFP