Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengganti Mutang belum dibincang

    MIRI, 12 MEI – Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak hanya akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai jawatan Yang Dipertua Dewan Negara selepas selesai memberi penghormatan kepada mendiang Datuk Mutang Tagal.

    Mendiang yang merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Mas (1982-1990) dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 pada 19 Feb lepas menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan susulan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

    Mutang meninggal dunia pada 11.46 pagi Jumaat  di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada usia 69 tahun.

    Menurut Abang Johari, kerajaan Sarawak bersimpati dengan kehilangan seorang tokoh anak Sarawak yang telah banyak berjasa kepada wilayah itu dan kepada Malaysia.

    Jasad mendiang dibawa pulang ke Miri menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang pada jam 8 pagi.

    Dari Lapangan Terbang Miri, jasad beliau yang diiringi oleh pengiring PDRM kemudian tiba di Borneo Evangelical Mission (BEM) Airport Road Church pada jam 11:20 pagi untuk majlis penghormatan terakhir.

    Jasad mendiang Mutang akan dibawa ke BEM Canada Hill Church pada jam 9 pagi esok bagi majlis penghormatan sebelum dibawa ke Perkuburan SIB Lambir untuk dikebumikan. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Senator Datuk Mutang Tagal di Pusat Peringatan Nirvana 2, Kuala Lumpur, kelmarin. Pengganti jawatan mendiang akan dibincang selepas selesai memberi penghormatan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda