MANILA, 30 NOV – Pengganti yang dipilih Presiden Filipina Rodrigo Duterte, hari ini, mengumumkan pengundurannya daripada pilihan raya presiden 2022, berkata bahawa ia “belum lagi masa saya”.
Senator Christopher Go, pembantu rapat presiden, menyertai pertandingan bagi pejabat tertinggi negara itu dua hari sebelum tarikh tutup 15 November, selepas mendaftar untuk bertanding bagi jawatan naib presiden sebelumnya,
Pengunduran mendadak itu mengurangkan jumlah calon yang bersaing untuk menggantikan Duterte, yang secara konstitusi ditegah daripada bertanding bagi penggal enam tahun kedua. Beliau bertanding bagi Senat.
“Keluarga saya juga tidak mahukannya, jadi saya fikir mungkin ini belum lagi masa saya,” Go memberitahu pemberita.
Go berkata, keputusannya untuk berundur juga bagi mengelakkan “lebih banyak masalah” kepada Duterte yang menurutnya disayanginya “lebih daripada sebagai bapa”.
“Saya kekal setia dengannya dan saya berikrar untuk bersamanya selama-lamanya,” Go berkata.
“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, saya menyedari bahawa hati dan pemikiran saya bercanggah dengan tindakan saya sendiri,” tambahnya.
Kebanyakan penganalisis telah meramalkan peluang kecil Go dalam pilihan raya Mei depan, walaupun dia adalah calon paling berkemungkinan untuk melindungi Duterte daripada dakwaan-dakwaan jenayah di Filipina dan siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap perang dadahnya yang berdarah. – AFP
