Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memerlukan maklumat lengkap segera dan teratur dari agensi kerajaan dalam mempertimbangkan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa. Sokongan dibuat berdasarkan laporan siasatan mengikut perbicaraan dan maklumat agensi penguat kuasa untuk menilai sama ada pegawai kakitangan berkenaan perlu dikenakan tindakan disiplin atau sebaliknya.
Manakala dari segi perundangan, undang-undang jenayah di Negara Brunei Darussalam tidak memperuntukkan bagi statute of limitations atau tempoh yang mengehadkan bila pendakwaan jenayah dapat dibawa ke mahkamah.
Sehubungan itu, perlu juga diingatkan bahawa proses serta prosedur mana-mana pendakwaan adalah di bawah bidang kuasa mahkamah dan tertakluk juga kepada undang-undang yang komprehensif serta menumpukan kepada due process.
Perkara berkenaan antara yang dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika menjawab persoalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin berkaitan peraturan kerajaan mengenai penjawat awam yang digantung kerja bertahun-tahun atas tuduhan yang belum sah dari segi tempoh masa penyiasatan (statute of limitations) ke atas pegawai berkenaan bagi memastikan keadilan dan mengelakkan kezaliman, semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Terdahulu, Yang Berhormat Pehin menyatakan tindakan penggantungan ini berdasarkan Surat Keliling JPM 19/1998, Kuasa Menahan Gaji dan Menggantung daripada Menjalankan Tugas dan Tanggungjawab Perenggan 3.1, setiausaha tetap atau ketua jabatan hendaklah menahan separuh daripada gaji dan segala elaun pegawai kakitangan berkenaan serta menggantung daripada menjalankan tugas dan kewajipannya dengan serta-merta, setelah menerima laporan daripada agensi kerajaan mengenai penglibatan pegawai-pegawai kakitangan dalam kes jenayah yang melibatkan ketidakjujuran seperti curi, pecah amanah, rasuah atau mana-mana kesalahan yang melibatkan jawatannya atau kesalahan undang-undang atau peraturan yang ditetapkan oleh penguasa tatatertib dari satu masa ke satu masa seperti Akta Penyalahgunaan Dadah dan Akta Racun.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan pihak mahkamah atau kehakiman adalah cabang kerajaan yang berasingan daripada JPM yang mana bidang kuasa JPM adalah di bawah cabang eksekutif.
“Oleh yang demikian bagi memastikan kebebasan kehakiman, proses-proses mahkamah terutamanya pengendalian kes-kes jenayah tidak diatur ataupun dipengaruhi oleh mana-mana kementerian di bawah cabang eksekutif kerajaan Negara Brunei Darussalam. Pemisahan ini adalah bagi memastikan keadilan serta menegakkan kedaulatan undang-undang,” tekannya.
