Friday, December 27, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggembala banteras pencemaran plastik

    KHISHIG UNDUR – Penggembala Mongolia, Purev Batmunkh, mengeluh sambil mengutip sampah-sarap yang bersepah di padang – enggan membiarkan masalah pencemaran sampah yang berbahaya dan menyakitkan mata memandang itu untuk menjejaskan tumbuhan yang ada di kawasan padang rumput yang luas itu.

    Negaranya merupakan salah sebuah negara yang menghasilkan pembunagan sisa plastik tertinggi per kapita di dunia dan tanpa program kitar semula, orang-orang yang berkempen berkata 90 peratus daripadanya berakhir di tapak-tapak pelupusan sampah.

    “Kebanyakan orang hanya menjalani kehidupan di ketika ini dan mereka tidak begitu memikirkan tentang masa depan dan hanya membuang sampah mereka,” Batmunkh memberitahu AFP di daerah Khishig Undur di wilayah utara Bulgan, Mongolia.

    “Mereka tidak tahu berapa lama sampah ini akan bertahan, untuk beberapa banyak tahun.”

    Pembuangan sampah haram adalah lumrah dan sebahagian daripadanya ditiup angin ke ladang-ladang menternak, di mana ia dimakan oleh binatang-binatang ternakan.

    Gambar menunjukkan seorang pekerja menyusun botol plastik di kilang pemprosesan botol plastik. – AFP
    Seorang pekerja memegang segenggam resin plastik kitar semula di kilang pemprosesan botol plastik. – AFP
    Purev Batmunkh mengumpul botol plastik dan sisa buangan bersama anaknya untuk membantu menyahcemar kampungnya. – AFP
    Seorang pekerja menyusun botol yang telah ditekan di kemudahan kitar semula kampung NGO Ecosum. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Batmunkh berkata seekor daripada lembunya telah ‘meleleh air liur dan tidak dapat bergerak’.

    “Setelah beberapa hari ia pun mati,” katanya.

    “Kami membelah perut lembu itu dan kami menemukan daripada bahagian lehernya sampailah ke bahagian usus dan pundinya, ada baju hujan plastik di dalamnya.”

    Mongolia telah memperkenalkan larangan penggunaan beg plastik sekali pakai pada 2019.

    Tetapi di kawasan luas itu, sepertinya ia tidak memberikan banyak kesan.

    Di padang rumput yang berdekatan, sampah plastik berwarna-warni tinggi membukit, daripada botol minuman ringan hinggalah kepada tayar dan beg membeli-belah, berselerakan hanya beberapa meter dari tempat kuda-kuda meragut rumput.

    SIFAR BUANGAN

    Penghasilan plastik setiap tahun di seluruh dunia telah meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam 20 tahun kepada 460 juta tan dan akan meningkat kepada tiga kali ganda dalam masa empat dekad jika dibiarkan begitu sahaja.

    Hanya sembilan peratus daripada dikitar semula dan menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomik dan Pembangunan, sumbangannya kepada pemanasan global berkemungkinan akan meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2060, melalui perkiraan bagi 3.4 peratus daripada pelepasan global pada 2019.

    Namun di pinggir bandar Mongolia, sesetengah pihak cuba membantu.

    Sejak 2018, NGO tempatan Ecosoum telah mengatur salah satu kemudahan kitar semula yang pertama di kawasan itu dengan menggalakkan para penggembala dan yang lain untuk mengutip sampah untuk diproses.

    Separuhnya dibiayai oleh Kesatuan Eropah, ia cuba untuk mengubah Khishig Undur menjadi daerah ‘sifar buangan’ pertama di Mongolia.

    “Plastik jenis ini ada di seluruh Mongolia,” Batkhuyag Naranbat, penyelaras teknikal di kemudahan kitar semula, memberitahu AFP, barisan botol yang diproses bertimbun tinggi di belakangnya.

    “Ternakan keluar dan memakan plastik ini dan malah mati kerana memakan plastik,” katanya. “Kita perlu berhenti.”

    Bagi Naranbat, kerjanya bermula pada awal pagi, apabila dia dan rakan sekerjanya keluar untuk mengutip sisa daripada mereka yang tidak boleh membawanya sendiri ke kemudahan itu.

    Mereka kemudiannya memisahkan plastik kepada apa yang boleh digunakan semula dan apa yang tidak.

    Plastik itu kemudiannya ditekan menjadi kiub seberat satu tan, diletakkan di atas trak dan dihantar ke ibu negara Ulaanbaatar untuk diproses.

    Orang ramai di kawasan itu pernah membuang plastik ke dalam lubang besar di tanah atau membakarnya, kata Naranbat.

    “Tetapi apabila kami mengetahui tentang bagaimana pencemaran plastik ini memudaratkan, bukan sahaja untuk dunia tetapi untuk negara kami sendiri, kami bertanya ‘apa yang telah kami lakukan?'” katanya.

    “Kami yang menyebabkan masalah, kamilah yang sepatutnya menyelesaikan masalah itu.”

    Herder Batmunkh, yang berusia 58 tahun, juga memutuskan untuk membantu, menunggang kudanya setiap minggu untuk menjelajah kawasan padang rumput yang luas mencari sampah untuk dikutip dan dihantar ke Ecosoum.

    “Semasa saya mengembala, saya akan melihat sedikit sampah dan saya akan memasukkannya ke dalam beg saya,” katanya.

    Ketekunannya tidak selalu tidak disenangi oleh orang lain.

    “Apabila saya memberitahu jiran saya untuk menguruskan sampah, mereka mengejek saya dan berkata ‘Batmunkh mengarut,'” katanya.

    “Mereka tidak peduli,” tambahnya.

    ‘SYARIKAT BESAR’ DIPERSALAHKAN

    Walaupun tabiat individu perlu diubah, Naranbat berkata syarikat yang menghasilkan plastik mesti dipertanggungjawabkan.

    “Mereka perlu berubah dan mula menggunakan bahan-bahan lain, seperti aluminium benda itu boleh dikitar semula,” katanya.

    Pusingan keempat dan kedua terakhir rundingan yang diketuai Persatuan Bangsa-
    bangsa Bersatu mengenai pakatan pertama di dunia untuk menyelesaikan pencemaran plastik global dirumuskan di Kanada pada bulan April.

    Rundingan dijangka berakhir pada bulan November di Korea Selatan, walaupun sekatan yang dicadangkan pada pengeluaran plastik tidak dimasukkan ke dalam teks draf dan kekal sebagai titik penting.

    Tetapi Batmunkh berkata dia merasakan semua orang perlu memainkan peranan dalam membantu menjadikan Bumi tempat yang lebih baik.

    “Perkara yang memisahkan kita daripada haiwan adalah rasional kita, yang menjadikan kita manusia,” katanya, cucunya yang masih kecil, mendengar setiap perkataannya dengan tekun, menarik lengannya.

    “Sebagai manusia yang hidup di Bumi ini, kita semua perlu memikul tanggungjawab menjaga planet kita.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda