Wednesday, April 2, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggiat budaya harap warisan baju Melayu terus terpelihara

    KUALA LUMPUR – Baju Melayu daripada fabrik jarang, tidak berlengan malah menyerupai baju wanita antara yang pernah mencetuskan kontroversi pada sambutan Aidilfitri beberapa tahun lepas dengan penggiatnya dianggap mencabul budaya warisan yang sepatutnya dijunjung dan dipelihara.

    Tahun ini masyarakat boleh menarik nafas lega kerana tiada lagi ‘eksperimen’ seperti itu yang menyebabkan kecaman teruk ke atas individu terlibat di media sosial, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap nilai autentik pakaian tradisional di samping peranan media sosial dalam membentuk persepsi.

    Penggiat budaya dan pereka fesyen tempatan, Farel Mikhail melihat perkembangan pada Hari Raya kali ini sebagai sesuatu yang sihat, kerana katanya dalam mengetengahkan pakaian tradisional rekaan masing-masing, pereka tetap perlu menjaga keaslian warisan budaya.

    “Jika sebelum ini kita lihat banyak rekaan yang menyimpang daripada asal, tahun ini nampaknya lebih terkawal. Mungkin kerana kesedaran yang semakin meningkat atau pengaruh media sosial yang lebih menitikberatkan nilai kesopanan,” katanya kepada Bernama.

    Menurutnya, sekalipun masih ada yang cuba memberi kelainan kepada pakaian tradisional itu, pereka tidak lagi melanggar nilai budaya dan batas kesopanan.

    Dalam mengetengahkan pakaian tradisional rekaan masing-masing, pereka tetap perlu menjaga keaslian warisan budaya. – Bernama
    Keindahan baju Melayu terletak pada kesederhanaan rekaan yang telah diwarisi sejak turun-temurun. – Bernama

    “Kalau mahu menghasilkan rekaan avant-garde, tiada masalah. Akan tetapi, apabila melibatkan tradisi dan warisan, kita harus lebih sensitif kerana hal ini sama seperti makanan tradisional… apabila identitinya diubah secara melampau, boleh menjejaskan warisan asal. Fesyen boleh berevolusi, tetapi jangan sampai menghilangkan identiti budaya.

    “Sebagai contoh, penggunaan tanjak bersama-sama dengan pakaian moden yang terlalu mencolok (mata) atau elemen tradisional yang diubah tanpa mengambil kira sensitiviti budaya, boleh menimbulkan perdebatan. Kita sebagai individu dan pereka sendiri perlu memainkan peranan dalam memperjuangkan nilai budaya kita,” katanya.

    Pada masa sama, beliau turut merumuskan ketiadaan kelainan yang menyimpang pada baju Melayu tahun ini sebagai kejayaan kempen kesedaran pelbagai pihak termasuk kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga nilai dan warisan budaya.

    “Kerajaan dan badan berkaitan semakin aktif dalam usaha melindungi budaya kita. Kempen yang dijalankan bukan sahaja mendidik masyarakat, malah memberi kesedaran kepada pereka fesyen untuk lebih menghormati unsur tradisional dalam rekaan mereka,” katanya.

    Farel turut menyatakan harapannya agar trend fesyen raya tahun ini dan tahun-tahun berikutnya terus mengekalkan keseimbangan antara inovasi dan pemeliharaan budaya, agar nilai tradisi dapat dihormati oleh generasi akan datang.

    Sementara itu, pekerja swasta Muhd Ikhsan Shahrol, 32, berkata baju Melayu seharusnya dikekalkan dalam bentuk asal tanpa unsur-unsur ‘kemodenan’ yang sukar diterima akal atas nama fesyen, kerana katanya keindahan pakaian tersebut terletak pada kesederhanaan rekaan yang telah diwarisi sejak turun-temurun.

    “Baju Melayu sudah cukup sempurna dalam bentuknya yang tradisional. Tak perlu diubah dengan rekaan yang terlalu moden sehingga menghilangkan identitinya.

    “Kita mengekalkan keaslian baju Melayu ini bukan bermakna menolak perubahan, tetapi satu usaha untuk memastikan warisan budaya itu terus dihargai dan tidak hilang ditelan arus fesyen semasa,” katanya.

    Pembantu jualan, Muhammad Munsyi Aziz, 26, pula berpendapat bahawa baju Melayu boleh diberi nafas baharu melalui rekaan yang lebih moden, selagi busana itu dikekalkan dengan ciri asas seperti potongan asal dan kesederhanaannya.

    “Keseimbangan antara tradisional dan inovasi penting agar busana ini terus relevan tanpa kehilangan identitinya. Tak salah baju Melayu diperkemaskan dengan elemen moden asalkan tidak keterlaluan. Cukup kalau sekadar diberikan potongan kemas, butang yang menarik atau sulaman halus untuk tampak segar tapi tetap berakar pada tradisi,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda