Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggiat teater kongsi kepakaran, pengalaman

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Sebagai platform untuk membincangkan mengenai kepakaran dan pengalaman para penggiat teater dari segi teknik persembahan dan perkembangan teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Brunei Darussalam telah mengungkayahkan Wacana Seni Teater bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, pagi tadi.

    Wacana Seni Teater merupakan salah satu pengisian acara sebelum berlangsungnya Festival Teater Mastera (Apresiasi Naskhah Drama) 2024 sebagai salah satu rangkaian kegiatan utama Sidang ke-28 Mastera. Negara Brunei Darussalam melalui DBP telah menjadi tuan rumah penganjurannya pada tahun ini.

    Acara berkenaan telah menyaksikan empat orang panel pembicara yang terdiri daripada Awang Shafiee bin Mostar dari Negara Brunei Darussalam; Aris bin Othman dari Malaysia; Aidli Mohamed Salleh, Mosbit dari Singapura; dan Syahirah Azra Shah dari Indonesia; serta Awangku Mohd Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup selaku moderator.

    Menerusi acara berkenaan, setiap wakil persatuan teater dari negara anggota Mastera antaranya mengongsikan penerangan tentang naskhah yang akan dipentaskan pada sebelah malam merangkumi konsep naskhah, proses penciptaan daripada skrip ke pentas, dan idea penciptaan. Para panel juga mengutarakan pendekatan produksi dari segi konsep dan teknik menarik dalam pementasan, dan rangkaian konsep yang boleh mencambahkan interaksi antara ahli pentas dan khalayak.

    Di samping itu, para panel turut menjelaskan landskap penggiat teater muda di negara masing-masing meliputi suasana penulisan naskhah drama pentas dan seni persembahan teater, cabaran yang dialami oleh golongan penggiat teater muda, sokongan dan juga penerimaan masyarakat secara menyeluruh.

    Antara yang hadir menyaksikan sesi perbincangan itu ialah para penggiat dan peminat seni pentas, mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, dan orang ramai.

    Wakil persatuan teater semasa mengongsikan kepakaran dan pengalaman masing-masing. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda