BERLIN, 22 SEPT – Pihak berkuasa Jerman yang menyiasat satu serangan siber ke atas sistem teknologi maklumat hospital yang membawa kepada penundaan rawatan sehingga mengakibatkan kematian ke atas seorang wanita yang sakit tenat, percaya perisian itu digodam oleh penggodam Rusia.
Dalam kemas kini bagi penggubal undang-undang diterbitkan hari ini, pihak pendakwa menulis bahawa penggodam menggunakan malware yang dikenali sebagai ‘Doppelpaymer’ untuk mematikan komputer di Hospital Universiti Duesseldorf pada 10 September lalu, menyasarkan data sulit kemudian menuntut wang tebusan untuk membukanya semula.
Penggodam telah menyebabkan sistem komputer hospital terputus dari rangkaian ambulan.
Seorang wanita yang sakit tenat terpaksa dibawa ke hospital yang lebih jauh di Wuppertal dan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pendakwa raya Cologne minggu lalu membuka kertas siasatan mengenai pembunuhan secara tidak sengaja terhadap suspek yang tidak diketahui berkaitan kematian wanita itu.
Jika tuduhan dikemukakan, ini adalah kes penggodaman yang jarang berlaku yang mengakibatkan kematian.
Para penyiasat mengesyaki bahawa penggodam tidak berniat untuk menyerang hospital, dan sasaran sebenar ialah Universiti Heinrich Heine di Dusseldorf.
Polis setempat berjaya menghubungi penggodam semasa serangan dengan memberitahu nyawa pesakit berada dalam bahaya, menyebabkan penggodam menyerahkan kunci penyahsulitan sebelum memutuskan komunikasi.
Jerman beberapa kali menyaksikan serangan penggodam terhadap institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan, termasuk Universiti Giessen, Universiti Cologne dan Universiti Ruhr Bochum. – AFP