SHANGHAI, 28 JUN – Pengguna 5G global dijangka mencecah lima bilion pada 2030 berbanding dengan 1.5 bilion yang dijangkakan pada 2023, menurut Huawei Technologies Co Ltd.
Ketua Pegawai Kewangan dan Pe-ngerusi Bergilir, Sabrina Meng Wanzhou berkata 5G telah digunakan secara komersial di seluruh dunia selama empat tahun dan ia telah memacu penciptaan nilai baharu merentas semua industri dan banyak isi rumah di seluruh dunia.
“Sumbangan industri mudah alih kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global diunjurkan mencecah AS$6 trilion (AS$1=RM4.657) pada 2030.
“Oleh yang demikian, ia (5G) sedang mengubah cara kita bekerja dan menjalani kehidipan, mewujudkan nilai ekonomi, perindustrian dan sosial yang amat besar,” katanya dengan menambah 5.5G pula adalah langkah ke hadapan seterusnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk Embracing 5G Transformation pada pembukaan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Shanghai 2023 selama tiga hari, hari ini.
Mengulas mengenai 5.5G sebagai horizon akan datang, Meng yang juga anak kepada pengasas syarikat Ren Zhengfei, berkata teknologi baharu itu akan menampilkan kelajuan paut turun 10 gigabit, kelajuan paut naik gigabit, keupayaan untuk menyokong 100 bilion sambungan dan kecerdasan buatan natif. – Bernama
