Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengguna media sosial Vietnam wajib sahkan identiti

    BANGKOK, 23 DIS – Pengguna media sosial di Vietnam, termasuk di platform Facebook dan TikTok, kini diwajibkan untuk mengesahkan identiti mereka sebagai sebahagian daripada peraturan internet baharu yang ketat.

    Para pengkritik mengatakannya sebagai usaha untuk menindas kebebasan bersuara di negara tersebut.

    Undang-undang tersebut akan berkuat kuasa pada Hari Krismas yang akan mewajibkan syarikat teknologi besar itu untuk menyimpan data pengguna, memberikannya kepada pihak berkuasa atas permintaan dan membuang kandungan yang dianggap ‘haram’ oleh kerajaan dalam tempoh 24 jam.

    Peraturan 147, yang dikenali sebagai Dekri 147, merupakan lanjutan daripada undang-undang keselamatan siber 2018 yang menerima kritikan keras daripada Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan pejuang kebebasan Internet yang menyatakan bahawa ia meniru penapisan Internet di China.

    Pemerintahan keras Vietnam biasanya bertindak pantas untuk menamatkan sebarang bentuk pembangkang dan menangkap pengkritik, terutamanya mereka yang banyak audiens di media sosial.

    Gambar AFP

    Pada Oktober, blogger Duong Van Thai yang memiliki hampir 120,000 pengikut di YouTube, di mana dia sering membuat siaran langsung yang mengkritik kerajaan, dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun atas tuduhan menerbitkan maklumat anti-negara.

    Beberapa bulan sebelumnya, wartawan bebas terkemuka Huy Duc, pengarang dalam salah satu blog paling popular di Vietnam, mengkritik kerajaan dalam isu-isu seperti kawalan media dan rasuah juga telah ditangkap.

    Pihak berkuasa berkata bahawa ia ‘melanggar kepentingan negara’.

    Pengkritik mendakwa bahawa Dekri 147 itu juga akan mendedahkan para pembangkang yang menyiarkan pendapat tanpa nama kepada risiko penahanan.

    “Ramai orang bekerja secara senyap tetapi berkesan dalam memajukan nilai-nilai hak asasi manusia sejagat,” kata blogger dan aktivis hak asasi manusia dari bandar Ho Chi Minh, Nguyen Hoang Vi kepada pemberita.

    “Dia memberi amaran bahawa undang-undang baharu itu “boleh menggalakkan penapisan diri, di mana orang ramai mengelak daripada menyuarakan pandangan yang berbeza untuk melindungi keselamatan mereka, akhirnya akan merosakkan perkembangan nilai-nilai demokratik secara keseluruhan di negara ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda