SAN FRANCISCO, 19 DIS – Twitter mengumumkan beberapa lagi perubahan dasar sejak syarikat media sosial itu diambil alih oleh pemilik baharu, Elon Musk, dengan tidak lagi membenarkan penggunanya mempromosikan akaun media sosial lain, termasuk Facebook dan Instagram.
Langkah itu yang turut memberi kesan kepada Mastodon, Post dan Truth Social serta media sosial capaian pihak ketiga seperti linktr.ee serta ink.bio, dilaksanakan selepas pengguna Twitter mula menggalakkan pengikut mereka melihat hantaran di media sosial lain susulan perubahan di platform media sosial.
“Menuju ke hadapan, Twitter tidak lagi akan membenarkan promosi percuma platform media sosial secara spesifik.
“Pada peringkat hantaran ciapan dan akaun, kami akan memadamkan sebarang promosi percuma platform media sosial pihak ketiga yang dilarang, seperti capaian ke luar (menggunakan URL) ke mana-mana platform menerusi Twitter, atau menyediakan nama pengguna awda tanpa URL,” katanya dalam satu kenyataan. Sehubungan itu, kata Twitter, pengguna akan disekat daripada memuat naik hantaran berkenaan, sebagai contoh ‘Ikuti saya @namapengguna di Instagram’.
Tegas Twitter, pengguna yang melanggar peraturan itu buat kali pertama akan berdepan tindakan daripada memadam satu atau lebih ciapan sehinggalah akaun disekat untuk tempoh tertentu.
“Sebarang kesalahan lanjut akan dikenakan penggantungan kekal,” katanya. – AFP


