Tuesday, January 7, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggunaan aplikasi e-dompet elak salah guna bantuan SKAS

    KUCHING, 5 JAN – Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penggunaan aplikasi e-dompet S Pay Global (S Pay) untuk menyalurkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bertujuan memastikan bantuan diberikan untuk keperluan asas sahaja, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan bantuan berkenaan.

    Beliau berkata pemberian bantuan dalam bentuk baucar atau wang tunai berpotensi disalahgunakan, dengan penerima mungkin menggunakan bantuan itu untuk perkara selain daripada keperluan asas.

    “Kita telah menilai cara-cara pemberian baucar dan wang tunai. Jika diberikan secara tunai, duit itu berkemungkinan tidak sampai kepada barangan keperluan asas seperti beras.

    “Baucar pula boleh ditukar kepada wang tunai di kedai, yang juga boleh disalahgunakan. Sebab itu, kita gunakan kaedah digital supaya sekurang-kurangnya penerima dapat membeli beras untuk keluarga mereka,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Servis Sarawak hari ini.

    Abang Johari berkata penggunaan S Pay juga membantu kerajaan negeri mendapatkan data jumlah kasar pendapatan dan memantau perbelanjaan isi rumah rakyat Sarawak.

    Beliau berkata kerajaan Sarawak akan menggerakkan jentera pentadbiran di seluruh negeri bagi membantu melaksanakan program SKAS, antaranya membabitkan Residen dan Pegawai Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pusat Servis Sarawak. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari pada sidang media selepas membuat sesi lawatan ke kaunter fizikal Pusat Servis Sarawak di Kuching, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda