Oleh Yusrin Junaidi
Kanak-kanak dengan gajet merupakan pemandangan yang lumrah dan sinonim dengan kehidupan pada masa kini.
Dalam sesetengah masyarakat, gajet menjadi senjata utama digunakan oleh para ibu bapa untuk memujuk atau menenangkan anak-anak agar duduk diam dan tidak mengganggu urusan kerja mereka lebih-lebih lagi pada waktu makan tidak kiralah ketika berada di rumah atau di mana saja.
Menurut kajian, penggunaan gajet untuk jangka waktu panjang boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak daripada segi pertuturan, membaca dan banyak lagi.
Ia juga dilihat boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak jika menggunakannya secara berlebihan antaranya boleh menjejaskan penglihatan.
Menurut Guru Bahasa Melayu Sekolah Antarabangsa Jerudong, Dayangku Hamizah binti Pengiran Sabri, ketika ditemu bual melalui aplikasi WhatsApp berkata, “Tidak dinafikan bahawa penggunaan teknologi moden adalah selaras dengan pembangunan masa kini. Penggunaan gajet bukan hanya digunakan dalam dunia pendidikan dan pekerjaan tetapi gajet juga digunakan secara meluas oleh masyarakat kini tanpa mengira usia dan bangsa.”




Antara manfaat yang dapat diperoleh melalui penggunaan gajet khususnya penggunaan Internet dalam kalangan remaja ialah mereka boleh mengetahui pelbagai informasi terkini.
Bak kata pepatah, maklumat berada di hujung jari. Remaja yang rajin mencari dan membaca berita mengenai isu-isu semasa akan dapat meningkatkan kemahiran dalam menganalisis pelbagai info yang diperoleh sama ada maklumat tersebut adalah benar atau sebaliknya.
Hal demikian menuntut remaja untuk mengelakkan sikap membabi buta dalam berhujah mahupun berkongsi apa jua maklumat kepada orang ramai. Oleh itu, gajet diharap akan dapat menjadi jambatan buat para remaja untuk bijak dalam mencari maklumat dan seterusnya mengongsikannya untuk dimanfaatkan oleh orang ramai.
Namun demikian, penggunaan teknologi moden juga boleh memudaratkan kesihatan remaja dari segi fizikal dan mental. Hal ini perlu dititikberatkan kerana ada sesetengah remaja yang terlalu bergantung pada penggunaan gajet untuk melepas tekanan ataupun stres seolah-olah mereka tidak dapat hidup tanpa gajet.
Penggunaan gajet yang terlalu lama sudah setentunya boleh memudaratkan kesihatan remaja. Misalnya, remaja yang menghabiskan masa seharian mereka dengan menggunakan gajet akan menyebabkan mata menjadi rabun dan otot fizikal semakin lemah.
Hal ini disebabkan remaja menjadi malas untuk melakukan aktiviti luar seperti bersenam sehingga mengakibatkan lalai dalam menjaga tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi.
Secara tuntasnya, penggunaan gajet dan pelbagai teknologi moden memang memberi manfaat dalam membantu memudahkan kehidupan seharian kita. Namun, sebagai pengguna kita perlu bijak dalam memanfaatkannya.
Janganlah kita lalai sehingga ia mendatangkan kemudaratan kepada diri mahupun keluarga kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Untuk mengupas lebih lanjut isu gajet, Media Permata juga menemu bual Peguam Litigasi Kanan di firma guaman Abrahams Davidson & Co., Dayang Aisha Diana @ Mewsum Wong. Beliau juga seorang ahli Brunei Daily Snap Photography.
Menurut beliau, teknologi boleh dikatakan mempunyai kebaikan dan keburukan. Penggunaan gajet untuk bekerja dan mencari pendapatan sampingan adalah lumrah pada zaman moden ini, namun timbul keburukannya jika ia digunakan untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah, kerana ia akan dapat merosakkan minda kita.
“Saya juga seorang peguam yang selalu sibuk dengan pekerjaan harian, dengan adanya gajet ia memudahkan lagi pekerjaan harian saya”, jelasnya.
Selain itu, dengan menggunakan gajet secara positif, peranti teknologi moden juga dapat menambah tahap kesenian orang ramai yang tidak berdaya untuk melukis. Gajet terkini membolehkan kita untuk mengambil gambar cantik dan menarik, tambahan lagi dengan aplikasi-aplikasi terkini untuk pengambilan fotografi.
Dayang Aisha juga bercadang menggalak orang ramai supaya lebih giat mengambil gambar menggunakan teknologi gajet terkini, di mana beliau juga bercadang untuk mengadakan pertandingan fotografi di masa akan datang, dengan maklumat lanjut akan diumumkan di media cetak kemudian.
Manakala Haji Sohaili bin Haji Mohidi pula berkata kepada Media Permata, tahun 2020 adalah tahun ledakan ICT dan Revolusi Perindustrian 4.0 yang amat mengejutkan dunia sejagat di sebalik penularan wabak pandemik COVID-19 secara global.
Tanpa diduga talian Internet yang dahulunya kita anggap hanya mampu dimiliki oleh segelintir orang sahaja kini telah menjadi mampu milik dan mampu guna oleh hampir setiap manusia yang ada di muka bumi ini.
Seiringan dengan teknologi dunia tanpa sempadan ini telah mampu mengubah secara drastik cara hidup dan budaya bangsa, kaum bahkan agama sesebuah negara.
Beliau berkata bahawa orang awam sepertinya menjadi taksub pada penggunaan gajet dan ICT ini sehinggakan ada kalanya menimbulkan kekhuatiran nilai-nilai kehidupan yang bermaruah, berintegriti, berbudaya dan seni peradaban sesuatu bangsa yang penuh sopan santun dan ukhuwah akan lenyap. Jika kita tidak pandai mengimbangi antara identiti kebangsaan diri dan kemasukan budaya baharu, ia akan semakin memudarkan nilai kekeluargaan dan sistem kemasyarakatan yang jujur dan telus.
Setentunya fenomena seperti ini pastinya akan menjejaskan keharmonian sesebuah ikatan kekeluargaan. Bak kata pepatah, sampan sudah di sungai, dayung sudah di tangan, tinggal saja lagi di mana hala tuju perahu tersebut hendak kita kemudikan.
Ubaya-ubaya hendaknyalah kita sama-sama saling mengambil peranan dalam memperbetulkan atau menyelaraskan situasi semasa agar tetap di dalam landasan yang terbaik dan tidak menjadikan kemajuan teknologi masa kini sebagai satu formula yang merugikan dan menjadikannya sebagai sesuatu hala tuju atau wawasan yang sedang direncanakan dan diusahakan sehingga sampai kepada kemenangan dan kejayaannya, ujarnya semasa mengakhiri temu bual baru-baru ini.