LISBON, 21 NOV – Penggunaan gas ketawa untuk tujuan keseronokan semakin membimbangkan di Eropah, kata agensi ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EMCDDA) hari ini, menekankan risiko keracunan, luka bakar dan kerosakan sistem saraf.
“Peningkatan dalam penggunaan nitrus oksida untuk keseronokan di beberapa kawasan Eropah merupakan isu yang membimbangkan,” kata pengarah EMCDDA, Alexis Goosdeel.
“Timbulnya tanggapan umum dalam kalangan pengguna bahawa menghidu nitrus oksida adalah selamat.
“Namun kami melihat penggunaan gas yang lebih kerap ini menambah risiko kesihatan serius.”
Nitrus oksida mempunyai pelbagai fungsi perubatan, industri, komersial dan saintifik.
Ia juga digunakan sebagai bahan tambahan makanan dan sebagai anestetik. Selain itu, ia juga semakin popular dijadikan bahan penenang yang membuat pengguna rasa gembira, kata agensi ubat-ubatan EU.
“Satu rantaian bekalan yang menguntungkan telah wujud, dengan kedai internet mempromosi gas itu untuk kegunaan rekreasi atau menawarkannya untuk digunakan sebagai ramuan membuat krim putar,” jelas kajian.
Penggunaan gas dengan kerap telah membawa kepada ‘peningkatan’ dalam keracunan dan masalah kesihatan lain sejak 2017.
Ia termasuk kerosakan sistem saraf disebabkan nitrus oksida menjejas fungsi vitamin B12 dalam tubuh badan, reput fros akibat terdedah kepada gas dan kecederaan paru-paru berpunca daripada pelepasan gas dari silinder besar. – AFP