Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggunaan gelang tangan sentiasa dipantau

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Pengawasan penggunaan gelang-gelang tangan ke atas mereka yang diarahkan menjalani Perintah Kuarantin dan pesakit COVID-19 akan sentiasa dilakukan dan dipantau pada setiap masa.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan bahawa setakat hari ini, seramai 218 orang pesakit COVID-19 telah menjalani pengasingan diri di rumah persendirian.

    Mereka yang menjalani Perintah Kuarantin menggunakan gelang tangan berwarna biru manakala bagi pesakit positif COVID-19 akan menggunakan gelang tangan yang berwarna merah.

    Yang Berhormat Dato menekankan perkara itu semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Beliau turut menyatakan bahawa terdapat empat talian telefon yang telah disediakan bagi orang ramai membuat sebarang laporan mengenai mereka yang melanggar peraturan terhadap penggunaan gelang-gelang tangan tersebut mahupun bagi melaporkan sebarang kegiatan perhimpunan ramai.

    Mengulas mengenai isu kelambatan pemotongan gelang tangan bagi mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin atau pengasingan diri mereka, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa bilangan petugas telah ditambah bagi menangani dan mengelakkan perkara tersebut terutamanya pada masa pengasingan diri di rumah yang kini telah dimulakan baru-baru ini.

    Walau bagaimanapun, tambah beliau, jika berlaku isu kelambatan pemotongan gelang tangan setelah berakhir tempoh 14 hari kuarantin, mereka bolehlah menghubungi talian 8150522 ataupun 8160522.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengingatkan bahawa mereka yang memotong atau menggunting gelang tangan mereka sebelum menghubungi talian berkenaan mahupun sebelum menerima arahan untuk memotong gelang tangan mereka, denda akan dikenakan tanpa menerima sebarang alasan yang diberikan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada sidang media tersebut di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda