Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Sejak penubuhan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, beberapa projek telah dilaksanakan, meliputi pembinaan masjid baharu, penambahan bangunan masjid dan pemuliharaan masjid.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2025, ketika menjawab persoalan Ahli MMN, Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi memastikan ketelusan dalam penggunaan dana walaupun statistik kutipan telah diterbitkan dalam laman web KHEU di mana pecahan perbelanjaan masih tidak didedahkan serta usaha-usaha pihak kementerian dalam menggalakkan lebih ramai orang memberikan sumbangan.
Menghuraikan lanjut, Yang Berhormat Pehin berkata pembinaan masjid baharu itu termasuklah pembinaan Masjid Ar-Rahman Kampung Tanjung Bunut bernilai $3.56 juta; Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong bernilai $3 juta dan Masjid As-Salam, Kampung Junjungan, Daerah Brunei dan Muara bernilai $5.2 juta.
Manakala dalam penambahan bangunan masjid pula meliputi Masjid Kampung Sungai Buloh, Daerah Brunei dan Muara bernilai $876,094.03 dan Masjid Kampung Kupang, Daerah Tutong dengan nilai $1,129,238.10. Dalam aspek pemuliharaan masjid, ia merangkumi Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel Kiudang, Tutong yang menelan kos $128,917; Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong $113,510; dan Masjid Kampung Pulaie dengan kos $106,225.10.
Terdahulu, Yang Berhormat Pehin menjelaskan pengurusan tabung dana diurus tadbir oleh Urusetia Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU.


Satu jawatankuasa sementara telah diberi mandat dan tanggungjawab ke atas tabung dana iaitu Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam bagi menggerakkan dan memandu sebelum lembaga ditubuhkan.
Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menggalakkan orang ramai terus memberikan sumbangan kepada Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Antaranya mengadakan forum eksklusif di daerah-daerah, ceramah, tazkirah di masjid atau melalui media, khutbah Jumaat, menyediakan e-poster dan juga sumbangan melalui SMS dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi.
Untuk rancangan pembinaan masjid baharu, jelas Yang Berhormat Pehin, sebenarnya beberapa cadangan telah diperuntukkan dalam rancangan lima tahun penggunaan kutipan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid (2018-2022), iaitu cadangan pembinaan masjid baharu di Kampung Lamunin, Kampung Ukong, Kampung Tanjung Nangka, Kampung Lumut 1 dan Kampung Sibut, Daerah Temburong.
Sementara itu, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan Laporan Pecahan Perbelanjaan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam yang lengkap telah dihadapkan kepada Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam; Majlis Ugama Islam Brunei; dan Juruaudit Agung, Jabatan Audit, Jabatan Perdana Menteri.
Merujuk persoalan Yang Berhormat Dr Haji Mahali, Yang Berhormat Pehin menjelaskan jumlah yang dinyatakan adalah bagi kutipan tabung dana bermula dari bulan Januari hingga Jun 2024 sahaja. Beliau turut mengongsikan bahawa jumlah keseluruhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid sejak penubuhannya Jun 2015 sehingga Disember 2024 adalah $37,392,933.31, dengan anggaran baki $2 juta lebih.