KUALA LUMPUR, 17 OGOS – Penggunaan platform digital bukan sahaja dapat mengekalkan operasi kewangan mikro malah juga mengembangkannya sejak pandemik COVID-19, kata Pengasas Bank Grameen, Profesor Dr Muhammad Yunus.
Yunus, yang juga Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh berkata peralihan kepada sistem digital bukanlah sesuatu yang dirancang, sebaliknya berlaku sebagai tindak balas terhadap sekatan semasa pandemik.
Perjumpaan mingguan Bank Grameen untuk pembayaran pinjaman, permohonan serta sokongan kumpulan tidak lagi dapat diadakan secara bersemuka ketika itu.
“Keadaan itu bukan sesuatu yang dirancang. COVID-19 memaksa kami beralih kepada kaedah dalam talian.
“Jadi, peminjam mula menggunakan telefon dan pemindahan digital untuk pembayaran balik, manakala perbincangan kumpulan mingguan dilakukan menerusi Zoom,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia.
Penerima Hadiah Keamanan Nobel itu berada di Malaysia dari 11 hingga 13 Ogos lepas atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Bernama


