JERMAN – Sama ada awda memanggilnya dummies, pacifiers, soothers atau binkies, puting tiruan dikatakan punca gigi kanak-kanak tidak sejajar, mengganggu penyusuan dan menghalang perkembangan pertuturan.
Ibu bapa yang melayari Internet untuk mengetahui kebaikan dan keburukan kebanyakannya mendapati ia membawa lebih banyak keburukan.
Bantahan terhadap penggunaan puting telah menjadi popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata pengarang nasihat penjagaan anak, Nora Imlau, yang berpangkalan di Jerman.
Namun perlukah ibu dan ayah risau jika anak kecil mereka suka menghisap puting tiruan?
Lagipun, generasi ibu bapa sebelum mereka telah menggunakan puting untuk menenangkan anak-anak mereka.
“Anak baru lahir, dan anak damit yang lebih tua juga, mempunyai refleks menghisap,” jelas Imlau. Ia boleh dipuaskan apabila mereka lapar dan menyusu pada payudara ibu mereka, katanya, dan juga apabila mereka tidak lapar.
“Jika keperluan anak untuk menghisap itu kuat, mereka boleh menghabiskan 10 jam sehari di payudara ibu mereka.”
Sementara sesetengah ibu tidak mempunyai masalah, ‘bagi yang lain adalah tidak salah untuk memberi puting kepada anak sebagai cara tambahan untuk membantu mereka menyesuaikan diri.’
Di Jerman, menurut Imlau, penggunaan puting secara rasmi disyorkan untuk mengurangkan risiko sindrom kematian mengejut anak damit (SIDS), kematian mengejut dan tidak dapat dijelaskan bagi anak yang berumur kurang daripada satu tahun.
“Pelbagai kajian membuktikan bahawa menghisap puting pada waktu malam melindungi kanak-kanak daripada tidur dengan amat nyenyak, di mana apnea tidur (iaitu gangguan pernafasan yang kerap semasa tidur), faktor risiko yang diketahui untuk SIDS, boleh berlaku,” kata beliau.
Walaupun subjek ini banyak dibincangkan – sesetengah orang berpendapat bahawa penyusuan susu ibu juga membantu melindungi daripada SIDS – cadangan rasmi Jerman tentang penggunaan puting dapat mengurangkan risiko SIDS selalunya tidak berkesan, kata Imlau.
Sebabnya, dia mengandaikan bahawa perdebatan telah dipengaruhi emosi, terutamanya dalam rangkaian sosial, di mana beberapa prasangka palsu tular di media sosial – contohnya, puting adalah memudaratkan dan menggalakkan ketagihan.
Walau bagaimanapun, tiada fakta saintifik yang membuktikan kebenarannya.
GUNA BERPADA-PADA
Kanak-kanak yang menggunakan puting secara berpada-pada juga tidak mempunyai masalah perkembangan pertuturan, katanya.
“Satu-satunya perkara yang kita tahu adalah penggunaan puting yang berlebihan meningkatkan risiko jangkitan telinga tengah. Awda perlu mengawasinya.”
Apakah penggunaan ‘secara berpada-pada?’
Pada pandangan Imlau, kanak-kanak tidak memerlukan puting apabila emosi mereka dikawal dengan baik, contohnya semasa bermain atau aktiviti membaca, tetapi memerlukannya apabila emosi mereka terganggu, letih atau berada di tempat yang tidak dikenali.
“Tiada bukti menunjukkan tahap penggunaan ini mendatangkan risiko dalam apa jua cara,” katanya. “Bagi sesetengah kanak-kanak, puting adalah satu-satunya alat kawalan kendiri mereka, dan mereka mempunyai puting di mulut mereka siang dan malam. Ini sekali gus boleh menimbulkan masalah.”
Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa berasa was-was tentang penggunaan puting sama sekali.
Bukankah ia dianggap mengganggu penyusuan susu ibu? Di sini, amaran patut diberikan, kata Imlau, “Kanak-kanak yang sentiasa menggunakan puting selepas mereka mula menyusu mungkin menunjukkan corak hisapan yang salah pada payudara.”
Inilah sebabnya mengapa ibu tidak boleh memberikan anak yang baru lahir puting sejurus selepas lahir, dan hanya diberikan kemudian secara terhad. Ia harus diberikan ‘secara sensitif dan berorientasikan hubungan erat antara anak dan ibu,’ kongsi beliau.
“Awda memberikannya apabila awda menyedari kanak-kanak itu mempunyai keperluan untuk menghisap pada masa itu. Jika mereka meludahkannya, awda tidak memasukkannya semula ke dalam mulut mereka serta-merta, tetapi lihat dan perhatikan sama ada kanak-kanak itu sudah puas menghisap dan memerlukan sesuatu yang lain.”
Ia adalah soal “kekerapan dan pengendalian,” katanya, juga disebabkan kemungkinan pertumbuhan gigi rongak.
“Ya, penggunaan puting yang melampau boleh menyebabkan apa yang dipanggil gigitan terbuka,” di mana gigi kekal kanak-kanak tumbuh dengan tidak betul dan kemudiannya mungkin memerlukan pendakap untuk membetulkannya.
“Tetapi pertama sekali, walaupun ini boleh berlaku, ia tidak semestinya berlaku,” kata Imlau.
“Dan kedua, ia lebih daripada gigi sahaja. Mereka adalah manusia yang dibentuk oleh tabiat yang memberi mereka jaminan emosi.”
Atas sebab ini, katanya, dia mendapati masalah timbul apabila doktor mendesak ibu bapa memutuskan tabiat penggunaan puting pada bulan-bulan pertama kehidupan anak mereka yang baru lahir – dengan kata lain, membuang alat kawal kendiri yang biasa digunakan oleh si kecil.
“Secara psikologi, ia adalah sukar. Secara peribadi – sebagai ibu kepada empat orang anak, ada di antara mereka menggunakan puting – saya sentiasa mengutamakan kesejahteraan anak saya lebih daripada kemungkinan gigi tidak sejajar.”
Ini tidak bermakna awda boleh menggunakan puting secara sembarangan, katanya.
“Jadi lupakannya dari semasa ke semasa, jangan sentiasa menawarkannya sepanjang masa, sebaliknya tanya kanak-kanak itu: ‘Adakah kamu mahu pelukan?’ ‘Bolehkah saya menyanyikan sesuatu untuk kamu?’” – ANN/The Star