Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Penggunaan skrin maksimum 2 jam sehari bagi 6-18 tahun’

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Dengan menekankan isu kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penggunaan skrin secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak, Kumpulan 1-Vision di bawah Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO), Kohort 36 anjuran Institut Perkhidmatan Awam (IPA) telah melancarkan kempen, Skrin Berpada, Anak Terjaga di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas sempena Pesta Buku Brunei 2025 pada 30 Ogos lalu.

    Pelancaran rasmi video kesedaran itu telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan, Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad.

    Majlis turut diserikan dengan sesi perkongsian pakar-pakar Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (CDC) Kementerian Kesihatan, Jabatan Oftalmologi, Pusat Mata Hospital RIPAS dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI).

    Para pengunjung semasa acara itu juga berpeluang menyertai kuiz interaktif yang menawarkan hadiah menarik selain mengikuti aktiviti, DIY Screen Time Rules Kit, yang membantu keluarga membina rutin penggunaan skrin secara praktikal di rumah.

    Kempen itu menekankan isu kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penggunaan skrin dalam kalangan kanak-kanak serta kepentingan menjaga perkembangan awal termasuk kesihatan mata.

    Awang Abdol Hazis menyempurnakan pelancaran kempen berkenaan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KUMPULAN 1-VISION
    Antara pengunjung mengambil bahagian dalam aktiviti interaktif. – GAMBAR SERAHAN KUMPULAN 1-VISION

    Acara itu bermatlamat untuk me-ningkatkan kesedaran ibu bapa dan penjaga tentang risiko pendedahan skrin yang berpanjangan di samping menggalakkan penggunaannya secara seimbang, terkawal dan berhemah.

    Selain itu, ia turut menyokong garis panduan rasmi Kementerian Kesihatan iaitu tiada penggunaan skrin bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, maksimum satu jam sehari bagi kanak-kanak berumur 2–5 tahun,dan maksimum dua jam sehari bagi mereka yang berumur 6-18 tahun.

    Kajian menunjukkan penggunaan skrin secara berlebihan boleh menyebabkan perkembangan bahasa yang lebih lemah, perkembangan kemahiran motor tertangguh, hiperaktif, masalah dengan kemahiran sosial dan kawalan diri serta gangguan tidur.

    Oleh itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya memberikan keutamaan kepada aktiviti interaktif dan fizikal yang menyokong perkembangan otak serta kesejahteraan anak-anak.

    Kempen itu merupakan hasil kolaborasi Kumpulan 1-Vision bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta rakan swasta dengan pendekatan seluruh negara.

    Ia menegaskan tanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada risiko penggunaan skrin berlebihan merupakan tugas bersama ibu bapa, masyarakat dan pihak berkepentingan lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda