Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggunaan tablet di penjara cetus persoalan

    HARTFORD – Pihak berkuasa di Connecticut yang memberikan tablet kepada banduan dalam tempoh masa tertentu dianggap sebagai satu cara untuk mewujudkan suasana tenang di dalam penjara.

    Tablet semakin popular digunakan di kebanyakan penjara di Amerika Syarikat (AS) sebagai cara untuk banduan mengikuti program pendidikan dan turut mendedahkan teknologi kepada mereka.

    Pesuruhjaya Jabatan Pemulihan di Connecticut, Scott Semple menjelaskan bahawa suasana penjara kelihatan berada dalam keadaan sunyi setelah mereka diberikan kemudahan untuk menggunakan tablet dalam tempoh masa tertentu.

    “Ia adalah umpama seperti anda pergi ke pusat membeli-belah di mana kebanyakan orang lebih gemar untuk melihat skrin telefon pintar berbanding bersosial,” jelas Semple.

    Ciri keselamatan tertentu juga telah ditetapkan seperti gajet itu tidak dilengkapi dengan perkhidmatan Internet, bahkan kandungannya hanya bahan pendidikan merangkumi sudut bacaan dan juga video.

    Banduan perlu sentiasa mendapatkan kebenaran dan pengawasan daripada warden penjara yang bertugas ketika ingin menggunakan tablet demi mementingkan tahap keselamatan di Jabatan Pemulihan di Connecticut. – AP

    Malah ia juga dipercayai dapat memberi keuntungan kepada beberapa syarikat apabila banduan menggunakan elaun mereka untuk membeli muzik, permainan video dan aplikasi lain bagi tujuan hiburan.

    “Kami berusaha untuk memberikan sinar baharu dalam kehidupan para banduan ini. Pendedahan teknologi ini diharap dapat membantu mereka agar tidak terlalu ketinggalan selepas kembali semula kepada masyarakat,” jelas Semple.

    Program yang serupa turut dilaksanakan di Georgia dan Colorado.

    Pada Januari lalu, New York telah mengumumkan untuk menyediakan tablet kepada 51,000 orang banduan dan April lalu, New Hampshire telah menandatangani kontrak selama lima tahun dengan Reston, sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Virginia bagi penyediaan kemudahan tablet itu.

    Anthony Plant, 27 dari Lancaster, New Hampshire yang dihukum penjara selama 21 bulan atas kesalahan mengedar dadah menjelaskan kemudahan tablet dalam tempoh yang tertentu itu telah berjaya mengurangkan konflik di antara para banduan.

    Seramai 13,500 banduan telah dilaporkan di Connecticut dan kontrak kemudahan tablet itu dipercayai bakal dimeterai pada musim panas ini.

    Menerima kritikan

    Bagaimanapun langkah penyediaan tablet ini juga telah mewujudkan persoalan dan kecaman kepada banyak pihak terutama yang bimbang mengenai faktor keselamatan dan kebajikan yang dianggap dilakukan secara keterlaluan.

    Malah ia dianggap satu perkara membazir dan sia-sia, lebih-lebih lagi status banduan itu sendiri yang sememangnya telah melakukan jenayah di dalam negara itu.

    “Jika dilihat dari segi masyarakat, ternyata masih ramai lagi orang lain yang lebih memerlukan bantuan daripada pesalah yang dipenjara sebagai hukuman ke atas jenayah yang dilakukannya,” jelas pemikir, Inisiatif Dasar Penjara, Wanda Bertram.

    Penggunaan tablet hanya dihadkan dalam tempoh masa yang tertentu dan ia juga perlu dikembalikan semula ke tempat yang dikhaskan. – AP
    Hanya perisian yang berunsurkan pendidikan dan pengembangan hidup dibenarkan untuk diakses oleh banduan bagi memastikan tiada sebarang unsur penyalahgunaan. – AP

    Senator Connecticut yang juga merupakan pengerusi bersama bagi Jawatankuasa Kehakiman, Senator John Kissel menjelaskan bahawa dia terlalu sukar memahami apakah faktor sesetengah pihak yang memberikan keutamaan terhadap penjenayah berbanding pelajar sekolah.

    “Penjenayah ini telah melakukan perkara yang buruk dan hukuman yang setimpal wajar diterima oleh mereka. Layanan yang keterlaluan seperti ini dikhuatiri akan memperlihatkan perspektif yang berbeza dalam kalangan masyarakat,” jelas Kissel.

    Plant pula menjelaskan bahawa kandungan yang berunsurkan pendidikan dalam tablet itu secara tidak langsung membantu untuk mendorong proses pemulihannya.

    “Sekiranya anda sukar untuk menerima langkah pembaharuan ini, maka ia wajar ditukar sebagai Jabatan Tahanan dan bukannya Jabatan Pemulihan,” jelas Plant.

    Jurucakap dari Jabatan Pemulihan Colorado, Mark Fair-bairn menjelaskan bahawa isu keselamatan dari segi kandungan dan penggunaan dalam kalangan banduan harus sentiasa diawasi.

    Secara keseluruhannya, penggunaan tablet dalam kalangan banduan memang memberikan kesan positifnya yang tersendiri dan turut memberikan keuntungan kepada syarikat teknologi apabila mereka menggunakan wang sendiri untuk memuat turun muzik dan permainan video yang mencecah sehingga AS$53,000.

    Semple menjelaskan bahawa hanya banduan tertentu sahaja yang dibenarkan untuk menikmati kemudahan perkhidmatan peminjaman tablet ini dan ternyata setelah melaksanakannya ia juga berjaya membantu untuk melatih mereka agar menjadi lebih berdisiplin.

    Pada tahun 2016, Pennsylvania telah memberikan kebenaran kepada banduan untuk menggunakan perkhidmatan tablet yang boleh dibeli pada harga serendah AS$150 dari Global Tel-Link dan kira-kira 16,000 orang banduan telah memilikinya.

    Timbalan Setiausaha Eksekutif Jabatan Pemulihan Pennsylvania, Shirley Moore Smeal menjelaskan bahawa pihak jabatan memang giat melakukan kerja-kerja pengumpulan data berikutan daripada kesan penggunaan tablet tersebut.

    “Kebenaran penggunaan tablet di dalam penjara ini memang memperlihatkan perkembangan positif dalam kehidupan banduan. Jika ia dapat dilihat sebagai satu yang membina dalam kehidupan mereka, maka secara tidak langsung ia setentunya merupakan satu aspek yang membina dalam institusi ini,” jelas Smeal. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda