Saturday, December 21, 2024
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggunaan telefon bimbit akan dilarang di sekolah Brazil

    BOGOTA, 20 DIS – Penggunaan telefon bimbit akan dilarang di sekolah rendah dan menengah di Brazil jika undang-undang yang diluluskan oleh Kongres baru-baru ini mendapat persetujuan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva, lapor agensi Anadolu (AA) yang memetik laporan media tempatan, kelmarin.

    Undang-undang itu bertujuan untuk menangani kesan negatif telefon bimbit terhadap kesihatan dan pendidikan kanak-kanak serta remaja, dan telah diluluskan di Kongres menerusi undian.

    Setelah ditandatangani menjadi undang-undang, pelajar di sekolah rendah dan menengah tidak lagi dibenarkan menggunakan peranti mudah alih semasa waktu persekolahan.

    Menteri Pendidikan, Camilo Santana menyambut baik langkah ini dengan menyatakan bahawa ‘menyekat penggunaan peranti mudah alih di sekolah adalah keputusan yang tepat.’

    Menurut kajian bebas, lebih daripada separuh kanak-kanak Brazil berusia 10 hingga 13 tahun memiliki telefon bimbit, sementara angka itu meningkat kepada 87.6 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 14 hingga 17 tahun.

    Data daripada Jawatankuasa Pemandu Internet Brazil menunjukkan bahawa hampir dua pertiga sekolah di negara itu sudah mengenakan sekatan terhadap penggunaan telefon bimbit, manakala hanya 28 peratus yang melarang sepenuhnya.

    Satu tinjauan yang dijalankan pada Oktober oleh Locomotiva Institute and QuestionPro mendapati bahawa 82 peratus ibu bapa di Brazil menyokong larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda