Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 19 Sept – Treler tidak boleh digunakan di atas jalan-jalan raya awam melainkan treler tersebut telah berdaftar di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya dan setiap pemandu yang berhajat untuk menunda treler adalah dikehendaki memiliki lesen memandu khusus bagi menunda treler mengikut berat treler.
Antara kelas bagi menunda treler adalah Kelas 2B bagi berat treler tanpa muatan 3000kg dan ke bawah, Kelas 2A bagi berat treler tanpa muatan antara 3000kg-6000kg dan Kelas 2 bagi berat treler tanpa muatan 6000kg dan ke atas.
Treler tersebut juga mesti dilekatkan tanda pengenalan (bilangan pendaftaran kenderaan) mengikut cara yang ditetapkan seperti yang diperuntukkan dalam peraturan. Plat berkenaan hendaklah dilekatkan di belakang treler bersama plat pendaftaran kenderaan yang menarik treler tersebut.
Perkara tersebut telah disentuh dalam taklimat mengenai Garis Pandu Pembinaan, Pendaftaran dan Melesenkan Treler Perahu yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Ali bin Haji Matusin dan Pegawai Melesen, Awang Irwan bin Haji Lois semasa Program Masyarakat Bermaklumat di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, pagi tadi.

Taklimat juga menerangkan mengenai komponen utama dan aksesori treler, spesifikasi teknikal treler, pemeriksaan teknikal, perlesenan memandu menunda treler dan Akta-akta Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68) iaitu mengenai Peraturan-peraturan Jalan Raya bagi Pendaftaran Kenderaan Bermotor dan Treler, 2013.
Taklimat tersebut merupakan salah satu pengisian Program Masyarakat Bermaklumat bagi Kampung Telisai, Kampung Bukit Beruang dan Kampung Danau yang diadakan selama dua hari bermula pagi tadi.
Dengan adanya taklimat tersebut, ia diharap akan dapat memudahkan peserta program dan orang ramai dalam mempertingkatkan taraf hidup dan menyuntik semangat mereka di samping meningkatkan ekonomi dan menuju Wawasan Brunei 2035.