Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penghadang besar mula dipasang

    FUJIKAWAGUCHIKO, 21 MEI – Sebuah bandar di Fujikawaguchiko, Jepun hari ini mula memasang penghadang besar di lokasi pemandangan popular Gunung Fuji, dalam usaha menghalang jumlah pelancong yang semakin ramai berhenti bergambar di situ.

    Pemandangan paling terkenal Jepun itu boleh dilihat sejauh beberapa kilometer, namun penduduk tempatan Fujikawaguchiko meluat dengan sikap pengunjung, kebanyakannya warga asing, tidak menjaga adab ketika berada di situ.

    Ramai yang dengan sewenang-wenangnya membuang sampah, menceroboh dan melanggar peraturan lalu-lintas dalam memburu gambar pemandangan menarik untuk dikongsi di media sosial.

    Pengunjung bertindak meletakkan kenderaan secara haram dan mengabaikan larangan merokok, membuatkan sekitarnya sesak demi merakamkan gambar gunung dilitupi salji di hadapan kedai serbaneka, kata penduduk.

    Kontraktor selesai memasang penghadang berwarna hitam setinggi 2.5 meter dan selebar 20 meter di kawasan tumpuan pelancong itu pagi tadi, menurut wartawan AFP yang berada di lokasi.

    Seorang pekerja memasang penghadang untuk menghalang pemandangan Gunung Fuji Jepun di belakang kedai serbaneka. – AFP

    “Saya harap penghadang itu boleh menghalang aktiviti berbahaya,” kata penduduk Michie Motomochi, 41, yang mengusahakan kedai manisan tradisional Jepun.

    Namun, pendapatnya berbeza dengan pelancong dari New Zealand, Christina Roys, 36, yang menyifatkan tindakan itu sangat mengecewakan dan menjejaskan gambar pemandangan ikonik.

    “Saya agak kecewa mereka memasang penghadang di lokasi ikonik orang ramai merakamkan gambar.

    “Bagaimanapun, kita faham tindakan mereka. Kami berada di sini malam tadi dan berjaya merakam gambar terakhir sebelum mereka memasang penghadang.

    “Ia agak berbahaya kepada yang melalui kawasan lalu lintas itu. Terdapat tempat lain di mana awda boleh mendapatkan gambar gunung itu,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda