Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah telah diteruskan lagi hari ini dengan lima orang peserta Kategori A memperdengarkan hafazan masing-masing.
Majlis yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu kemudian menyaksikan penyampaian sijil kepada peserta dan hakim pertandingan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam.
Penyampaian sijil kepada peserta dan hakim pertandingan telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Para peserta Kategori A yang memperdengarkan bacaan mereka pada majlis itu terdiri daripada kanak-kanak berumur 11 tahun kebawah yang menghafaz surah-surah pilihan dari Juzuk 30 iaitu Surah Ath-Taariq, Surah Al-A’laa, Surah Al-Ghaasyiyah, Surah Al-Fajr, Surah Al-Balad, Surah Asy-Syams, Surah Al-Lail, kompilasi surah-surah lazim bermula dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Naas berserta pemahaman Surah Al-Muthaffifiin, Surah Al-Insyiqaaq dan Surah Al-Buruuj.
Keputusan musabaqah bakal diumumkan pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1440 Hijrah yang akan diadakan pada bulan Ramadan akan datang. Musabaqah berkenaan dikendalikan bersama oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama Pasukan Polis Diraja Brunei, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam, KHEU.
Ia bertujuan untuk menggalakkan umat Islam di negara ini supaya berjinak-jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan terutama kanak-kanak, murid-murid dan remaja serta membolehkan mereka membaca dan memahami Al-Quran dengan sempurna tanpa perlu melihat kitab suci Al-Quran di samping menjadikan budaya membaca Al-Quran sebagai satu kebiasaan dan amalan hidup seharian.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

