KUALA LUMPUR, 25 OGOS – Penghantaran pulang dua anak panda gergasi Liang Liang, iaitu Yi Yi dan Sheng Yi ke China pada 29 Ogos ini dilaksanakan sebagai mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Malaysia dan China.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebelum ini cadangan penghantaran Yi Yi tertangguh disebabkan penutupan pintu masuk ke China akibat penularan pandemik COVID-19.
Menurutnya, Liang Liang dan pasangannya Xing Xing dipinjamkan oleh China kepada Malaysia pada 21 Mei 2014 sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan republik itu.
“Tempoh pinjaman adalah selama 10 tahun bermula daripada tarikh ketibaan pasangan panda gergasi berkenaan di Malaysia dan melalui hasil kejayaan konservasi ex-situ Malaysia, panda gergasi Liang Liang telah melahirkan tiga ekor anak betina iaitu Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi.
Anak panda gergasi pertama, Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada tahun 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi akan dihantar pulang pada 29 Ogos ini,” menurut kenyataan itu.
Minggu lepas Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana dilaporkan sebagai berkata Yi Yi dan Sheng Yi akan dihantar pulang ke China, namun republik itu belum menetapkan tarikh yang khusus untuk kedua-dua anak panda itu melakukan perjalanan. – Bernama