TOKYO, 20 DIS – Anak syarikat Toyota, Daihatsu hari ini berkata ia akan menggantung penghantaran semua model kereta yang sedang dalam pengeluaran di Jepun dan
luar negara, berikutan pendedahan baharu mengenai penipuan ujian keselamatannya.
“Daihatsu memutuskan hari ini untuk menggantung sementara penghantaran semua model yang dibina Daihatsu yang kini dalam pengeluaran, di Jepun dan di luar negara,” kata firma kereta itu dalam satu kenyataan susulan laporan panel bebas.
Panel itu ditubuhkan awal tahun ini untuk menyiasat tentang keselamatan buat pertama kali pada April.
Siasatan itu ‘mendapati penyelewengan baharu dalam 174 item dalam 25 kategori ujian’ selain kesalahan yang dikesan sebelum ini pada April dan Mei melibatkanbahagian pintu dan ujian perlanggaran sisi, kata Toyota.
Bilangan model kereta yang dikaitkan dengan salah laku kini berjumlah 64, termasuk 22 yang dijual oleh Toyota.

Dengan pensijilan sebagai ‘prasyarat utama’ bagi pengeluar kereta untuk menjalankan perniagaan, ‘kami mengiktiraf kesan serius’ kecuaian Daihatsu, yang telah ‘menjejas teruk asas syarikat sebagai pengeluar kereta’, kata Toyota.
Dalam kenyataannya sendiri, Daihatsu menawarkan ‘kenyataan maaf yang mendalam’ kerana ‘mengkhianati kepercayaan pelanggan dan pihak berkepentingan kami’.
Toyota dan Daihatsu berkata mereka tidak mengetahui sebarang kemalangan yang timbul daripada kes pemalsuan tersebut, tetapi ‘pengesahan teknikal menyeluruh’ sedang dijalankan.
Penyiar awam NHK melaporkan bahawa Kementerian Pengangkutan Jepun akan menjalankan pemeriksaan di tapak Daihatsu esok.
Dalam ringkasan laporannya yang diterbitkan hari ini, panel bebas menyalahkan salah laku Daihatsu atas faktor termasuk tekanan melampau akibat jadual pembinaan yang terlalu ketat dan kekurangan kepakaran pengurus. – AFP

