SHANGHAI, 1 Mac – Shanghai memperluaskan pengharamannya ke atas perbuatan merokok di tempat awam hari ini tatkala bandar terbesar di China itu mempertingkat usahanya untuk menghapus ancaman kesihatan meskipun konflik kepentingan dengan industri tembakau milik kerajaan.
Hampir satu perempat orang dewasa di pusat komersial yang mempunyai 24 juta penduduk adalah perokok, menurut akhbar People’s Daily, memetik data daripada Persatuan Kawalan Tembakau China.
Shanghai mempunyai pengharaman terhad ke atas merokok di tempat awam sejak 2010, tetapi undang-undang tersebut hanya membabitkan kawasan tertentu seperti sekolah dan perpustakaan.
Peraturan baru itu mengembangkan sekatan kepada semua kawasan tertutup awam dan beberapa kawasan terbuka.
Pada Jun 2015, majlis perbandaran Beijing melaksanakan undang-undang anti-merokok di negara, mengharamkan merokok di pejabat, restoran, hotel dan hospital.

Bandar selatan Shenzhen memperkenalkan peraturan yang sama pada 2014.
China telah lama berkata ia merancang mengharamkan merokok di seluruh negara. Pada November, jurucakap kesihatan kerajaan Mao Qunan memberi petunjuk langkah-langkah akan dilancarkan di seluruh negara pada akhir tahun lalu.
Namun langkah berkenaan, yang telah pun dibuka kepada komen orang awam sejak 2014, masih belum berkuatkuasa.
Langkah anti-merokok menimbulkan dilema untuk China.
Dari satu segi, merokok telah menimbulkan bebanan besar ke atas sistem kesihatan awam, membawa kepada satu juta kematian pada 2010, menurut kajian 2015 dalam jurnal perubatan The Lancet.
Sebaliknya, industri tembakau memberikan kerajaan dengan sumber pendapatan yang besar: 1.1 trilion yuan dalam cukai dan keuntungan pada 2015, menurut angka terbaru, meningkat 20 peratus tahun ke tahun.
Penyelia tembakau China berkongsi pejabat dan pegawai kanan dengan China National Tobacco Corp monopoli dan pengeluar rokok terbesar dunia. – AFP