Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Pusat Rehabilitasi Psikiatri Harian, Kampung Kiarong semalam mengadakan majlis penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam Projek Jualan dan Kutipan Amal pusat tersebut.
Sijil penghargaan disampaikan oleh wakil Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L) kepada para penaja dan sukarelawan, penyerahan hasil jualan amal kepada Ketua Pegawai Perancangan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dayang Siti Mardiyah binti Haji Besar.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan daripada Hospital RIPAS kepada pelajar C3L dan perwakilan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Menurut Pegawai Projek C3L, Dayangku Hajah Nadirah binti Pengiran Haji Ahmad, projek tersebut telah diungkayahkan oleh mahasiswa-mahasiswi C3L bermula pada pertengahan tahun 2017 dengan tujuan untuk membantu dari segi perbelanjaan dan pembelian peralatan-peralatan diperlukan oleh pesakit-pesakit psikiatri melalui kutipan derma.
Aktiviti amal ini adalah sebagai kempen kesedaran kepada orang ramai dan memberi peluang kepada pihak awam dan korporat untuk menderma bagi membiayai perbelanjaan peralatan-peralatan yang akan digunakan di klinik psikiatri tersebut.