Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea terus meningkatkan lagi hubungan persahabatan, kerjasama dua hala serta mengembangkan lagi ikatan kerjasama yang ada dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan, sains dan teknologi, harta intelektual, ekonomi dan kebudayaan.
Hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara telah berkembang dengan positif sepanjang tempoh perkhidmatan Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yoon Hyun Bong yang akan menamatkan perkhidmatannya.
Sebagai tanda penghargaan kepada segala usaha PYT Yoon Hyun Bong serta suami, Park Shin So, Kor Diplomatik mengadakan majlis makan malam bagi PYT Yoon yang berlangsung di The Empire Brunei, kelmarin.
Di majlis itu, Dekan Kor Diplomatik dan Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, TYT Sheikh Ahmed bin Hashil Al Maskari dalam ucapannya bagi mewakili Kor Diplomatik merakamkan ucapan tahniah kepada PYT Yoon atas usahanya untuk mengembangkan lagi hubungan dua hala di antara Brunei dan Korea.
Beliau menyatakan lagi dalam tempoh perkhidmatan PYT Yoon kira-kira tiga tahun, Korea dan Brunei telah menyaksikan peningkatan kerjasama dua hala yang meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, infrastruktur, pendidikan tinggi, kebudayaan dan pertukaran di antara warga kedua buah negara.


TYT Sheikh Ahmed menambah di bawah perkhidmatannya, Brunei dan Korea telah menyaksikan pertukaran lawatan peringkat tinggi di antara kedua-dua buah negara termasuk menyaksikan lawatan negara ke Negara Brunei Darussalam oleh Presiden Korea pada Mac 2019 di mana semasa lawatan berkenaan, sebanyak tiga memorandum persefahaman telah dimeterai oleh kedua-dua buah negara untuk meningkatkan kerjasama dalam pelaburan, sains dan teknologi serta harta intelektual.
Di samping itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengadakan lawatan ke Republik Korea pada November 2019 untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea ke-3 di mana ia menandakan satu lagi detik bermakna dalam perkhidmatan PYT Yoon di Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu, PYT Yoon dalam ucapannya merafak sembah junjung kasih kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja dan juga kerajaan Negara Brunei Darussalam serta Kor Diplomatik atas kerjasama dan sokongan yang dihulurkan sepanjang perkhidmatannya di Brunei.
Beliau juga merakamkan perasaan penghargaan kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam atas layanan mesra mereka kepadanya sepanjang perkhidmatannya.
PYT Yoon Hyun Bong telah menyembahkan surat tauliah lantikan kehadapan majlis Baginda Sultan pada 7 Julai 2018.