Penghargaan buat para wira COVID-19

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Wira-wira sama ada yang didendang atau tidak didendangkan dalam usaha menangani pandemik koronavirus COVID-19 yang membelenggu negara semenjak Mac tahun lalu, hari ini menerima penghargaan pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Pingat BRC COVID-19 anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM) di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Mendahului penerimaan pingat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar yang menerima anugerah BRC Henry Dunant Leaders 2020 daripada Presiden PBSM, Haji Mohd Suhaimi bin Haji Ibrahim, atas usaha cemerlangnya membantu mengekang dan mengawal wabak COVID-19 di negara ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan kemudiannya turut menyampaikan penghargaan dan pingat kepada para petugas barisan hadapan, sukarelawan, penderma dan penyumbang, rakan-rakan korporat, rakan-rakan media dan orang-orang perseorangan yang bersama-sama terlibat dalam misi kemanusiaan COVID-19 di PBSM, bagi mengekang dan memutus rantaian penularan wabak koronavirus itu.

Haji Mohd Suhaimi ketika berucap pada majlis itu turut melahirkan setinggi-
tinggi penghargaan di atas kepercayaan yang diberikan kepada persatuan untuk sama-sama menyelaras usaha menangani wabak tersebut melalui penyelarasan sukarelawan di peringkat kebangsaan pada awal penularan wabak sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Menurutnya, persatuan berbangga diberi kepercayaan besar tersebut terutamanya dalam usaha penyelarasan bersama pelbagai agensi kerajaan dalam operasi resepsi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan hotel-hotel yang dijadikan pusat kuarantin ketika itu.

Menurutnya lagi, lebih 100 tenaga sukarelawan telah digembleng dan berjaya menjalankan misi kemanusiaan COVID-19 melalui kerja-kerja penyelarasan, latihan sukarelawan, agihan sumbangan dan bantuan awam berupa makanan dan perubatan, pengangkutan, swabbing, resepsi di lapangan terbang, misi-misi khas, menangani isu aplikasi BruHealth dan
banyak lagi.

“Pingat kesukarelawan diberikan kepada hampir 200 sukarelawan kemanusiaan COVID-19 dalam usaha persatuan mengiktiraf jasa-jasa mereka, sama ada orang perseorangan atau badan korporat,” tambahnya.

PBSM turut memberikan Anugerah Piagam Friends of BRC buat pertama kalinya kepada dua badan korporat yang sering membantu misi kemanusiaannya iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Rimba Point yang banyak menghulurkan sumbangan dan menyokong misi kemanusiaan persatuan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerima pingat penghargaan BRC Henry Dunant Leaders 2020 atas usaha cemerlangnya mengekang dan mengawal COVID-19 di negara ini.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyerahkan Anugerah Piagam Friends of BRC kepada BIBD.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan pingat kepada wakil media.