Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penghargaan kepada jasa dan perkhidmatan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berkenan menganugerahkan Lencana Juruterbang Kehormat Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) kepada Kepala Staf Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (KASAU TNI-AU), Marsekal TNI Yuyu Sutisna sebagai penghargaan jasa perkhidmatan beliau dalam mengeratkan lagi hubungan antara TUDB dan TNI-AU.

    Lawatan pengenalan Marsekal TNI Yuyu Sutisna ke TUDB di Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini, bermula dengan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota TUDB dan diteruskan dengan Penganugerahan Lencana Juruterbang Kehormat TUDB yang disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

    Semasa berada di negara ini, beliau turut mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Pemerintah ABDB dan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

    Marsekal TNI Yuyu Sutisna menerima tabik kehormatan semasa lawatan pengenalan ke TUDB di Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini.
    Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan (tengah), Marsekal TNI Yuyu Sutisna (kiri) dan Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah (kanan) bergambar ramai selepas upacara penganugerahan Lencana Juruterbang Kehormat TUDB.

    Dalam kunjungan hormat berkenaan, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Marsekal TNI Yuyu Sutisna telah mengesahkan hubungan mesra yang terjalin antara kedua-dua negara hasil kerjasama yang mendalam dalam bidang pertahanan dan ketenteraan serta kerjasama pertahanan serantau pelbagai hala.

    Marsekal TNI Yuyu Sutisna mengambil alih tugas sebagai KASAU TNI-AU pada 17 Januari 2018.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda