Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penghidap kanser kelenjar gembira dapat kembali ke sekolah

    BUTTERWORTH – Bagaikan tidak percaya akan dirinya yang sebelum ini terpaksa berhenti sekolah kerana menghidap kanser kelenjar tahap empat, kanak-kanak perempuan ini nyata lebih teruja kerana berpeluang untuk kembali semula ke sekolah pada sesi tahun 2019.

    Asma Adilah Mohd Rosli, 9, berkata sebaik sahaja mengetahui dirinya kini beransur sembuh, perkara pertama yang bermain di fikirannya ialah untuk kembali ke sekolah.

    “Rindu nak jumpa kawan-kawan di sekolah,” katanya yang terpaksa berhenti sekolah atas nasihat doktor kerana terpaksa menjalani pelbagai rawatan termasuklah ujian kimoterapi.

    Ibunya, Zahrah Ahmad, 42 yang merupakan seorang guru berkata, sejak anak keduanya daripada lima beradik itu didiagnos penyakit tersebut pada Ogos lepas, rutin hariannya berubah sepenuhnya.

    “Dulu, Asma seorang yang ceria dan aktif, tapi penyakit itu telah membataskan aktiviti sehariannya kerana demam berpanjangan dan terpaksa dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan kimoterapi di Hospital Pulau Pinang.

    Namun, setelah diberitahu doktor pada Februari lepas yang anak saya beransur sembuh selepas ujian CT scan mendapati tumor pada kelenjarnya mengecil dan turut membenarkan anak saya kembali ke sekolah, sukar untuk saya gambarkan perasaan ini. Bersyukur sangat,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Kembali Ke Sekolah 2019, di sini, baru-baru ini.

    Terdahulu, program tersebut dirasmikan oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin bagi meraikan 100 kanak-kanak pesakit kanser untuk kembali ke sekolah pada sesi 2019.

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara, Maznah Taiyib berkata kesemua kanak-kanak tersebut yang didiagnos dengan pelbagai penyakit kanser telah mendapat kebenaran dari pihak doktor untuk kembali ke sekolah setelah didapati kesihatan mereka beransur pulih.

    “Kesemua mereka memang boleh kembali ke sekolah namun, jika mereka didapati tidak sihat, maka mereka dinasihatkan untuk tidak ke sekolah kerana kebarangkalian terdedah dengan jangkitan yang boleh memudaratkan mereka kerana memiliki sistem imunisasi yang lemah,” katanya.

    Terdapat 100 kanak-kanak kanser berusia antara tujuh sehingga 17 tahun yang terdiri dalam kalangan pesakit kanser darah, otak, tulang, otot, tisu serta kelenjar dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

    Katanya, walaupun kanak-kanak tersebut telah disahkan beransur pulih, namun mereka tetap dikehendaki menjalani rawatan dan mengambil ubatan seperti yang telah ditetapkan.

    “Sebenarnya, pesakit kanser kanak-kanak yang telah disahkan di peringkat awal berpeluang untuk kembali pulih,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda