TARIFA – Satu pesanan radio diterima daripada sebuah bot menyelamat maritim Sepanyol kepada pusat perkhidmatan di selatan bandar Tarifa: “Seramai 34 orang penghijrah berjaya diselamatkan.”
Bermulanya musim luruh, dengan cuaca sejuk, ribut dan kabus tebal tidak menghalang penghijrah daripada menyeberangi Mediterranean dari Maghribi ke Sepanyol, satu perjalanan yang telah meragut nyawa beratus belia pada tahun ini.
Dari kemuncak Tarifa, kelasi veteran bekerja secara syif di belakang skrin radar di pusat perkhidmatan menyelamat mengawasi Selat Gibraltar, di mana 100,000 buah kapal melaluinya setiap tahun. “Namun dengan perubahan laut yang pesat, arus kuat, kabus tebal yang boleh mengejutkan anda, ia merupakan perjalanan yang berbahaya,” tambah Serrano.
Ia sangat berbahaya disebabkan penyeludup manusia menempatkan penghijrah dalam bot yang sesak atau kanu plastik yang boleh terbalik dengan senang, katanya.
Kebanyakan tidak tahu berenang
“Saya tidak dapat ingat satu musim luruh seperti ini. Bot asyik tiba dengan wanita mengandung, kanak-kanak,” kata Jose Antonio Parra, seorang mekanik yang mempunyai pengalaman 25 tahun dengan unit maritim anggota polis Guardia Civil. Seramai 34 orang penghijrah yang diselamatkan daripada sebuah bot boleh kembung – termasuk enam wanita yang kelihatan dalam umur remaja – dibawa ke pelabuhan Algeciras, di mana mereka dirawat terlebih dahulu oleh Palang Merah sebelum diserah kepada polis.



Bot penghijrah yang kecil adalah sukar dikesan oleh radar. Mereka hanya dikesan apabila penghijrah sendiri memberikan amaran kecemasan menerusi telefon. Anggota menyelamat tidak mengesan bot yang tenggelam pada 5 November ketika ribut di luar pantai bandar Barbate, perjalanan yang mengambil masa satu jam dari barat Algeciras, membunuh 23 orang muda Maghribi.
Hanya 21 orang dalam bot yang berjaya diselamatkan. “Terdapat ribut kuat. Ramai di antara mereka tidak tahu berenang,” kata jurucakap Guardia Civil di wilayah Cadiz, Manuel Gonzalez. Kerajaan serantau Andalusia menjaga sembilan kanak-kanak di bawah umur yang selamat, sementara polis memenjarakan dua penumpang yang disyaki telah mengemudi bot. Sekitar 10 orang dewasa lain yang berada dalam bot diarahkan pulang ke Maghribi di bawah satu perjanjian di antara Madrid dan Rabat.
Seperti perahu mainan
Semenjak itu, lebih banyak mayat telah pun terdampar di pantai lain. Sembilan penghijrah sub-Sahara Afrika mati lemas selepas menghabiskan seminggu terapung-apung di laut, menurut satu-satunya mangsa yang selamat, seorang remaja Guinea yang melihat adik lelakinya mati, kata Gonzalez. Penghijrah telah membayar 700 euro setiap seorang untuk apa yang telah diberitahu kepada mereka satu perjalanan menaiki bot boleh kembung dengan enjin tetapi sebaliknya dipaksa menaiki “bot seperti mainan” dengan hanya satu pendayung, tambahnya.
Di antara bulan Januari dan Disember, kira-kira 2,687 penghijrah terkorban ketika cuba memasuki Sepanyol menerusi laut, lebih tiga kali jumlah pada tahun lalu, menurut angka Pertubuhan Penghijrahan Antarabangsa (IOM). Lebih ramai penghijrah telah terbunuh ketika cuba sampai ke Itali dan Malta pada tahun ini – hampir 1,300 – tetapi Sepanyol telah menjadi tempat masuk utama untuk penghijrah yang cuba sampai ke Eropah menerusi laut. Lebih daripada 55,000 penghijrah telah tiba di negara itu setakat ini pada tahun ini.
Sesiapa pun menangis
Anggota menyelamat menggambarkan dua jenis penghijrah: penghijrah Sub Sahara Afrika, yang menyanyi apabila anggota menyelamat mengambil mereka dari laut, dan Maghribi yang cuba dengan apa cara sekalipun untuk sampai ke pantai tanpa dikesan disebabkan mereka menghadapi deportasi atau dihantar pulang ke Maghribi sekiranya ditangkap.
“Bot kami berayun-ayun, terdapat perasaan kegirangan,” beritahu Abou Bacari, seorang pemuda berusia 18 tahun yang meninggalkan Ivory Coast dua tahun lalu selepas beliau kehilangan pekerjaannya di sebuah ladang pisang, kepada AFP di Madrid, tatkala beliau terkenang semasa beliau diselamatkan di laut di luar pantai Sepanyol pada Oktober.
Terdapat 70 orang dalam bot boleh kembung, termasuk empat kanak-kanak dan lapan wanita, apabila ia bertolak dari Tangiers ke Sepanyol, kata beliau. “Warga Guinea, Mali, Ivory…kami hilang di laut selama dua hari,” kata Bacari, menambah “lelaki juga menangis” apabila bot mengalami kebocoran.
Sesetengah hari – seperti pada hujung minggu lalu – seramai 500 penghijrah telah dibawa ke pantai oleh anggota menyelamat laut Sepanyol. “Saya tidak pernah melihat sebuah bot dengan 45 orang penghijrah berusia kira-kira 14-15 di dalamnya. Malah orang yang mengemudinya, yang sepatutnya bekerja untuk penyeludup, adalah orang di bawah umur,” kata Parra.
Nama ditatu
Kini sudah 30 tahun sejak gambar pertama mayat penghijrah yang mati lemas di pantai di Andalusia disiarkan. Hari ini deretan batu nisan di tanah perkuburan Tarifa menandakan di mana penghijrah tanpa nama dikebumikan. “Kadang-kala kami mendapati penghijrah dengan nama mereka ditatu di lengan mereka sekiranya mereka mati. Kami sedang melihat penambahan kematian dan ia tidak dapat diterima,” kata Jose Villajos, ketua persatuan yang membantu penghijrah yang ditubuhkan di Algeciras pada 1991.
Beliau menuduh Kesatuan Eropah “menggunakan negara Afrika Utara untuk menghentikan penghijraan dan bertindak seperti polis Eropah tetapi dasar ini membawa kepada lebih banyak kematian. Apabila perjanjian dicapai dengan negara-negara Afrika seperti Maghribi, jumlah bot penghijrah meningkat mendadak disebabkan ia merupakan satu cara untuk memberikan tekanan kepada Eropah,” dakwa beliau.
Maria Jesus Herrera, ketua misi IOM di Sepanyol, berkata sementara adalah penting untuk meningkat kerjasama dengan negara asal penghijrah untuk membantu menambah taraf hidup mereka, Eropah mesti pada masa yang sama “membuka saluran penghijrahan tetap, yang selamat dan bermaruah.” – AFP