Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penghijrahan pendatang melalui Darien Gap meningkat mendadak

    PANAMA, 11 OKT – Jumlah pendatang yang menyeberangi Darien Gap, laluan hutan yang sukar antara Colombia dan Panama meningkat dengan mendadak pada bulan September, menurut data kerajaan Panama, dan sebuah organisasi hak asasi manusia mengatakan terdapat kekurangan kapasiti untuk membantu pendatang.

    Rakyat Venezuela telah mengetuai penghijrahan besar-besaran melalui Darien sejak 2022, dan merupakan sebahagian besar peningkatan sejak pilihan raya presiden negara itu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

    “Tindakan keras susulan pilihan raya pada 28 Julai lalu di Venezuela mendorong peningkatan dalam penghijrahan,” kata Refugees International dalam laporan yang diterbitkan hari ini. Laporan itu berdasarkan puluhan wawancara dengan pendatang di stesen penerimaan di Panama dan Costa Rica.

    Lebih daripada setengah juta pendatang, jumlah rekod, yang menyeberangi Darien pada 2023. Lebih 65 peratus daripada mereka adalah warga Venezuela. Presiden Panama, Jose Raul Mulino, yang memegang jawatan pada 1 Julai, berjanji untuk mengurangkan penghijrahan dengan menutup beberapa pusat akses.

    Beliau juga berkata akan melaksanakan program penghantaran pulang dengan bantuan Amerika Syarikat (AS), yang setakat ini telah menambah penerbangan ke Colombia, Ecuador dan India. Kerajaan AS bersetuju untuk membayar penerbangan deportasi bagi pendatang yang dianggap tidak layak diterima.

    Pelan itu belum dilaksanakan untuk pendatang Venezuela kerana Panama, seperti negara jiran Costa Rica, menggantung hubungannya dengan Caracas selepas enggan mengiktiraf kemenangan pilihan raya yang dituntut oleh Nicolas Maduro. Penerbangan antara kedua-dua negara kini terhenti.

    Sehingga 7 Oktober, bilangan pendatang yang telah menyeberangi Darien tahun ini adalah 277,939, iaitu 36 peratus kurang daripada tempoh yang sama pada 2023, menurut Kementerian Keselamatan Panama. Bagaimanapun, data yang sama menunjukkan peningkatan mendadak pada bulan September berbanding Ogos. – AP

    Pendatang tiba di Lajas Blancas, Panama, selepas meredah Darien Gap dari Colombia dengan harapan untuk sampai ke AS pada 26 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda