Oleh Nurdiyanah R. –
Brunei Darussalam mencatatkan detik bersejarah di pentas antarabangsa apabila salah seorang belia tempatan, Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh, menerima anugerah berprestij World Leader Change-Maker Ambassador pada Kongres Belia Global 2024 di Bangkok, Thailand.
Anugerah ini, yang dianugerahkan pada 24 Oktober, mengiktiraf beliau sebagai antara 40 Penggerak Perubahan Dunia teratas, dipilih daripada lebih 1,000 calon yang berbakat dan berwibawa dari seluruh rantau Asia Pasifik.
Penghormatan ini bukan sekadar sebuah kejayaan peribadi tetapi simbol kekuatan dan potensi belia Brunei untuk memainkan peranan besar di persada dunia.
Kejayaan Hajah Noor Monasalieana menjadi satu inspirasi yang membuktikan bahawa Brunei bukan sahaja memiliki pemimpin muda yang berkualiti, tetapi juga mampu mengangkat nama negara melalui visi dan usaha membangun masyarakat yang lebih mampan.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan kesyukuran dan dedikasi terhadap semua rakyat Brunei yang mempercayai kekuatan belia untuk mencipta perubahan positif.
Anugerah ini, katanya, adalah satu semangat untuk terus berjuang demi inspirasi generasi muda Brunei Darussalam untuk mengejar impian mereka dan memberi impak, baik di peringkat tempatan mahupun global.
Majlis yang berlangsung selama tiga hari ini menyaksikan pemimpin-pemimpin muda dari seluruh Asia Pasifik bergabung tenaga dalam pelbagai sesi interaktif, bengkel kepimpinan, dan pertukaran budaya.
Di tengah-tengah forum global ini, Hajah Noor Monasalieana tampil sebagai suara yang lantang dalam usaha ke arah pembangunan mampan, inovasi, dan kepimpinan.
ANUGERAH SERLAH KEUPAYAAN BELIA BRUNEI
Peranan Hajah Noor Monasalieana sebagai World Leader Change-Maker Ambassador mencerminkan kualiti kepimpinan yang luar biasa dan dedikasinya untuk memberi impak bermakna dalam masyarakat.
Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kehadiran Brunei Darussalam di persada dunia, menunjukkan komitmen negara untuk melahirkan pemimpin muda yang akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan.
Gelaran World Leader Change-Maker ini juga memperkukuh pengaruh beliau apabila kembali ke Brunei Darussalam untuk terus memacu inisiatif yang tertumpu kepada inovasi, kemampanan, dan kemajuan masyarakat.
Anugerah ini menjadi lambang kebanggaan terhadap keupayaan belia Brunei Darussalam untuk menyumbang kepada perbincangan dan penyelesaian global.
KONGRES BELIA GLOBAL
Kongres Belia Global adalah sidang kemuncak tahunan yang menghimpunkan pemimpin muda luar biasa dari rantau Asia Pasifik.
Ditubuhkan pada tahun 2018, acara ini memberi tumpuan kepada pembangunan mampan dan kepimpinan, melengkapkan para peserta dengan kemahiran dan rangkaian yang diperlukan untuk mencipta impak berkekalan di komuniti mereka dan di peringkat global.
Oleh itu, World Leader Change-Maker Ambassador adalah anugerah yang diberikan pada peringkat antarabangsa khususnya di Kongres Belia Global, dengan penyertaan lebih daripada 1,000 belia dari seluruh Asia Pasifik.
Dengan penerimaan anugerah World Leader Change-Maker Ambassador oleh Hajah Noor Monasalieana tahun ini, ia menunjukkan pengiktirafan global terhadap kebolehan kepimpinan dan visinya dalam menangani isu-isu global seperti pembangunan mampan, inovasi sosial dan perubahan iklim.
Pengiktirafan ini menaikkan lagi profil antarabangsa beliau sebagai duta perubahan yang boleh memberi impak positif kepada dunia.
PENCAPAIAN DAN PENGIKTIRAFAN
Hajah Noor Monasalieana juga pernah menerima beberapa pencapaian dan pengiktirafan sebelum ini.
Antaranya ialah Anugerah Belia Cemerlang Brunei Darussalam pada tahun 2019 yang berkenan disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Ini adalah pengiktirafan tertinggi di Brunei bagi golongan belia sekali gus penghormatan kepada individu yang telah memberi sumbangan luar biasa kepada pembangunan belia, kepimpinan dan perkhidmatan kepada masyarakat di negara ini.
Penerima dianggap sebagai contoh teladan untuk belia dan masyarakat keseluruhannya.
Anugerah ini bukan sahaja memberi pengiktirafan tertinggi di peringkat negara, tetapi juga mengesahkan kredibiliti dan komitmen Hajah Noor Monasalieana terhadap pembangunan komuniti dan perkhidmatan sukarelawan di Brunei.
Ia mencerminkan keyakinan negara terhadap potensi beliau sebagai pemimpin masa depan yang akan terus berkhidmat untuk masyarakat Brunei.
Selain itu, Hajah Noor Monasalieana turut menerima Anugerah Henry Dunant – Volunteer Award pada 2020.
Anugerah ini diberikan oleh sebuah organisasi antarabangsa, International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC), yang diiktiraf secara global.
Anugerah ini dinamakan sempena Henry Dunant, pengasas Palang Merah dan penerima Hadiah Nobel Keamanan pertama.
Ia diberikan kepada individu yang telah menunjukkan dedikasi luar biasa dalam kerja-kerja sukarelawan dan perkhidmatan kemanusiaan.
Pengiktirafan ini menempatkan beliau sebagai salah seorang sukarelawan terbaik di rantau ini yang telah memberi sumbangan penting kepada komuniti global.
Anugerah ini menonjolkan peranan beliau dalam membantu komuniti melalui tindakan sukarelawan yang memberi impak langsung kepada masyarakat rentan, selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan dan perkhidmatan tanpa mengharapkan balasan.