BULELENG, INDONESIA, 30 APRIL – Anggota tentera Indonesia dan keluarga para korban kapal selam KRI Nanggala 402 hari ini memberikan penghormatan terakhir buat 53 kru kapal selam itu yang karam dan pecah di dasar perairan pulau peranginan Bali, hari ini.
Upacara tersebut menyaksikan ahli keluarga korban menaburkan bunga ke laut dari kapal hospital tentera laut.
Indonesia merancang untuk mengeluarkan rangka KRI Nanggala 402 dengan bantuan kapal tentera laut China yang mampu mengangkat objek sedalam 1,000 meter (3,280 kaki).
Tentera laut berkata kapal selam itu tenggelam 21 April pada kedalaman 600 hingga 700 meter (2,000 hingga 2,300 kaki), jauh lebih dalam daripada kemampuan selamannya sehingga 200 meter sahaja (655 kaki), di mana tekanan air akan menjadi lebih kuat daripada ketahanan kapal selam tersebut.
Presiden Joko Widodo menemui keluarga dari 53 anak kapal itu kelmarin dan mengucapkan takziah.
Kapal selam berkuasa diesel buatan Jerman itu telah beroperasi di Indonesia sejak tahun 1981 dan membawa 49 anak kapal dan tiga penembak serta komandannya, kata Kementerian Pertahanan.
Indonesia, negara kepulauan terbesar di dunia dengan lebih dari 17,000 pulau, telah menghadapi cabaran yang semakin meningkat terhadap tuntutan maritimnya dalam beberapa tahun terakhir, termasuk banyak insiden yang melibatkan kapal-kapal China berdekatan dengan kepulauan Natuna. – AFP
