JOHOR BAHRU, 13 JAN – Jasad bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh dibawa ke Nirvana Memorial Centre Jalan Skudai pada petang hari ini untuk penghormatan terakhir selepas proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Anak lelaki mendiang Sonuljit Singh, 32, berkata mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang boleh berbuat demikian bermula 4 petang sebelum jasadnya dibawa ke Krematorium Loke Yew di Kuala Lumpur, esok.
“Pada hari ini di Skudai, esok pula di Kuala Lumpur, jadi sesiapa yang ingin datang memberi penghormatan di Johor boleh datang. Esok pula kira-kira pukul 3 atau 4 petang di Krematorium Loke Yew, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSA hari ini.
Sonuljit pada masa sama menjelaskan proses bedah siasat mendiang Serbegeth Singh, 61, atau lebih dikenali sebagai Shebby berjalan lancar. “Sudah selesai tetapi pada masa ini, saya tidak seIesa untuk mendedahkannya, dan saya harap media beri kami sedikit ruang,” katanya.
Beliau pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan ucapan takziah atas pemergian bapanya.
“Terima kasih tidak terhingga atas ucapan kasih sayang dan penghargaan di media sosial,” ucapnya. -Bernama