Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 6 FEB – Sebagai gambaran, sejak tahun 2013 sehingga tahun 2024, terdapat 79 kematian di tempat kerja di pelbagai sektor dan pada tahun 2024 sahaja, tiga kematian di sektor pembinaan telah direkodkan. Risiko kemalangan boleh dikurangkan dan dicegah sekiranya aspek-aspek keselamatan dilaksanakan dengan teratur.
Dalam hal ini, pihak Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dengan kerjasama pihak-pihak kerajaan dan swasta yang berkepentingan terus berusaha melalui beberapa pendekatan dan kaedah untuk meningkatkan keselamatan di tempat kerja.
Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, SHENA, Dayang Salmaya Rahayu binti Salleh semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sesi Muzakarah SHENA bersama Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung Daerah Tutong dan Belait, hari ini.
Sesi muzakarah yang diungkayahkan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) itu antaranya bertujuan mengukuhkan usaha dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di seluruh negara.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Hotel The Lanes, Pekan Tutong, Daerah Tutong ialah Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Haji Muhsin bin Haji Ahmad.
Turut hadir, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; pemangku pegawai-pegawai daerah dari Daerah Tutong dan Belait; penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di kedua-kedua daerah berkenaan; serta pegawai-pegawai kanan KHEDN dan SHENA.
Dalam ucapan alu-aluan, Dayang Salmaya menyatakan majlis yang diadakan sebahagiannya bertujuan untuk menyampaikan pendekatan kepada para penghulu mukim dan ketua kampung mengenai hal ehwal kesejahteraan dan keselamatan di tempat kerja mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa pada masa ini.
Secara khususnya, pihak SHENA percaya penglibatan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dalam memastikan Negara Brunei Darussalam sebagai tempat yang selamat untuk bekerja dan didiami dapat sama-sama direalisasikan. Ia kerana pihak SHENA mengkategorikan mereka sebagai pempengaruh yang efektif untuk membimbing dan melindungi penduduk kampung dan sekitarnya secara khusus, dan masyarakat secara amnya.
“Sebagai penghulu mukim dan ketua kampung, pihak SHENA yakin abiskita dapat mempengaruhi komuniti di kawasan atau zon abiskita yang mana terdapatnya aktiviti kerja seperti pengubahsuaian atau pembinaan sama ada di premis-premis persendirian atau premis-premis awam, untuk mengamalkan budaya keselamatan dan mematuhi perundangan keselamatan di tempat kerja,” tekan Dayang Salmaya.
Justeru itu, tambah beliau lagi, kepimpinan dan kewibawaan para penghulu dan ketua kampung akan membimbing penduduk dan masyarakat sekeliling untuk mengamalkan sikap yang lebih berwaspada dan bertanggungjawab bukan sahaja dalam konteks di tempat kerja malah juga di dalam kehidupan seharian.
“Dengan ini, SHENA juga beriltizam untuk terus bekerjasama dalam mengekalkan dan meningkatkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan melalui kerjasama yang teguh ini, kita akan dapat membina persekitaran yang selamat, sihat, dan sejahtera untuk seluruh penduduk di negara ini,” ujarnya.
Sesi muzakarah berkenaan turut menyaksikan pembentangan daripada pihak SHENA, sesi soal jawab diikuti dengan lawatan ke pameran mini SHENA.