Friday, December 27, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penghulu, ketua kampung di Belait terima sijil lantikan

    Oleh Daniel Lim
    Gambar daripada Pejabat Daerah Belait

    BELAIT, 22 NOV – Penghulu Mukim Bukit Sawat dan ketua Kampung Bukit Sawat yang baharu secara rasmi menerima sijil lantikan masing-masing pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Mukim Bukit Sawat, hari ini.

    Haji Mohd Salleh bin Haji Othman, 56, telah dilantik selaku penghulu Mukim Bukit Sawat dan telah memulakan tugas beliau pada 17 Jun lalu, manakala itu, Awang Mohammad bin Abdullah, 50, dilantik sebagai ketua Kampung Bukit Sawat dan telah mula menjalankan tugasnya pada 5 November lalu selepas menamatkan perkhidmatan di Jabatan Kerja Raya.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian sijil-sijil lantikan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku ketua Kampung Labi I dan pemangku penghulu Mukim Labi; Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin, pegawai-pegawai kanan KHEDN, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ketua-ketua rumah panjang; ahli-ahli jawatankuasa majlis perundingan mukim dan kampung serta penduduk Mukim Bukit
    Sawat.

    Menurut kenyataan yang diberikan, jawatan penghulu Mukim Bukit Sawat telah lama kosong sejak penjawatnya yang terdahulu bersara pada 2005, manakala itu, jawatan ketua Kampung Bukit Sawat pula telah kosong sejak 1998.

    Sejak itu, jawatan-jawatan berkenaan telah dipangku sehinggalah iadiisikan secara tetap setelah melalui proses pengisian mengikuti Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam.

    Selepas menerima sijil lantikan masing-masing daripada tetamu kehormat, penghulu mukim dan ketua kampung berkenaan kemudiannya membaca ikrar disusuli dengan menyampaikan ucapan masing-masing.

    Pengundian dan pemilihan calon penghulu Mukim Bukit Sawat dan ketua Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait telah diadakan secara serentak pada 3 Mac lalu di mana Haji Mohd Salleh dan Awang Mohammad merupakan calon tunggal bagi jawatan-jawatan tersebut.

    Awang Mohammad mengangkat sumpah sebagai ketua Kampung Bukit Sawat.
    Haji Mohd Salleh (kiri) menerima sijil lantikan selaku penghulu Mukim Bukit Sawat daripada tetamu kehormat.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda