MUKAH, 29 SEPT – Seramai 105 penghuni Rumah Budin di Sungai Duan, Bukut, kira-kira 70km dari sini hilang tempat tinggal apabila kediaman mere-ka ranap dalam kebakaran awal pagi hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, panggilan kebakaran di rumah panjang sepanjang 13 pintu itu diterima pada jam 4:16 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, mengikut maklumat daripada salah seorang mangsa, kebakaran dipercayai bermula dari bilik keenam dan ketujuh rumah panjang berkenaan.
Bagaimanapun katanya siasatan lanjut sedang dijalankan mengenai punca kebakaran.
Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Ketika pihak bomba tiba di lokasi, kebakaran telah pun memusnahkan 90 peratus rumah berkenaan. – Bernama