Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengibaran bendera mulakan Sambutan HK40

    Oleh Yusrin Junaidi, Daniel Lim & James Kon –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Bendera besar Negara Brunei Darussalam mula berkibar megah di pusat Bandar Seri Begawan hari ini yang menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40) bagi 2024.

    Upacara menaikkan bendera besar berkenaan telah diadakan di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), pagi tadi di mana ha-dir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK40.

    Turut hadir ialah pengerusi-pengerusi bersama, timbalan-timbalan pengerusi sambutan, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai daerah dan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK40 serta ahli-ahli jawatankuasa lain.

    Majlis menyaksikan anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Pasukan Pembawa Bendera Benteng yang terdiri daripada pasukan kadet tentera, kadet polis, kadet bomba dan penyelamat serta Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) bergerak masuk bagi penyerahan dan penerimaan bendera besar daripada tetamu kehormat majlis.

    Penyempurnaan upacara menaikkan bendera besar negara telah diiringi dengan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan oleh kumpulan koir yang dianggotai oleh 40 orang penuntut dari Sekolah Seri Mulia Sarjana serta diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB)menaikkan bendera besar Negara Brunei Darussalam di pusat Bandar Seri Begawan yang menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40) bagi 2024. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan bendera negara bersaiz sederhana kepada Pemangku Pegawai Daerah Temburong. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pemangku Pegawai Daerah Belait menyerahkan bendera untuk dikibarkan pada majlis yang diadakan di kawasan Menara Cendera Kenangan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara mengagihkan bendera. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pemangku Pegawai Daerah Tutong menyerahkan bendera pada upacara yang berlangsung di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    Upacara menaikkan bendera besar di ibu negara melibatkan pasukan kadet dan alumni Program Khidmat Bakti Negara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Nyanyian koir memeriahkan upacara menaikkan bendera bagi Daerah Temburong yang berlangsung di Dermaga Pekan Bangar. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TEMBURONG

    Majlis itu juga dimeriahkan dengan persembahan dua buah lagu patriotik, Ikrar Kemerdekaan dan Berkibarlah Bendera bersama kibaran bendera kecil oleh seramai 100 orang penuntut dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.

    Di akhir upacara, majlis menyaksikan penyampaian bendera-bendera bersaiz sederhana dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun HK ke-40 kepada pegawai daerah bagi keempat-empat daerah.

    Selepas majlis pengibaran besar di ibu negara, majlis menaikkan dan pengagihan bendera Negara Brunei Darussalam telah diadakan oleh jabatan daerah di keempat-empat daerah.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di kawasan letak kereta Jabatan Daerah Brunei dan Muara di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Majlis seterusnya menyaksikan pengagihan bendera-bendera dan penyampaian sijil penghargaan kepada penghulu-penghulu, wakil-wakil persatuan, pihak-pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

    Di Daerah Tutong, majlis serupa diadakan di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri yang turut menyerahkan bendera negara kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua.

    Di Daerah Belait, majlis berlangsung di kawasan Menara Cendera Kenangan dan dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad yang turut menyampaikan bendera negara kepada para penghulu dan ketua-ketua kampung, persatuan-persatuan dan NGO.

    Sementara itu, bagi Daerah Temburong, majis diadakan di Dermaga Pekan Bangar di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed.

    Dengan berkibarnya bendera besar negara, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini diseru untuk sama-sama mengibarkan bendera bagi memeriahkan lagi sambutan di rumah-rumah kediaman dan bangunan-bangunan pejabat dan perniagaan serta pemasangan dan penyalaan lampu-lampu cucul di bangunan-bangunan kerajaan dan sektor swasta mulai hari ini hingga 25 Februari.

    Pengiran-pengiran akan mengibarkan bendera peribadi, orang-orang yang dikurniakan gelaran akan mengibarkan bendera masing-masing dan bagi orang ramai pula hendaklah mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam.

    Setiap bendera yang dikibarkan hendaklah mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan dengan memastikan bendera tersebut dalam keadaan baik, tidak pudar warnanya dan tidak koyak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda