Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengiktirafan memperkasa industri kulinari tempatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, itulah yang disaksikan pertumbuhan perniagaan yang mewarnai industri makanan dan minuman di tanah air kini.

    Golongan pengusaha di negara ini tidak kira berskala besar mahu pun kecil-kecilan semakin menonjolkan bakat dan kemahiran mereka dalam mengetengahkan variasi hidangan istimewa dari semasa ke semasa.

    Sehubungan dengan itu, demi mengetengahkan pelbagai kulinari terbaik di negara ini dengan pengiktirafan teristimewa, sebanyak 46 buah restoran dan 63 hidangan telah menerima Anugerah Hidangan Terbaik 2021 dalam kategori masing-masing pada Majlis Anugerah Makanan Brunei (BFA) 2021 bersempena Festival Disember Brunei (BDF) ke-5 yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

    Menerokai keindahan rasa kulinari

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang telah dimeriahkan dengan penglibatan seramai 200 peserta dalam talian itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Turut hadir menyaksikan penyampaian anugerah berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif BFA, Haji Nasir bin Dato Paduka Latif serta ahli-ahli kor diplomatik, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ketua-ketua syarikat awam dan swasta di negara ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penganugerahan yang berlangsung secaara maya berkenaan. – Gambar fail
    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Myanmar ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama U Htin Lynn ketika mencuba menumpah ambuyat. – Gambar fail
    ATAS & BAWAH: Antara hidangan yang dihakimi oleh BFA dan telah diiktiraf sebagai hidangan terbaik. – Gambar fail

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya merakamkan penghargaan tinggi di atas kelancaran pertandingan itu dan menaruh harapan agar BFA akan terus menganjurkan inisiatif cemerlang sedemikian dengan mengembangkan dan mempromosikan lagi kehebatan industri makanan dan minuman yang terdapat di negara ini.

    Tambahnya, dengan adanya acara sebegini, ia sudah pasti menjadi platform sangat baik bagi meraikan pencapaian para pengusaha makanan dan minuman yang cemerlang, di samping untuk menyaksikan keindahan rasa kulinari terkenal tanah air.

    “Tahniah kepada semua dan saya pastinya berharap pemenang akan mengekalkan pengiktirafan dan pencapaian ini, bukan sahaja dalam negara, tetapi juga untuk melangkah lebih jauh, di mana vendor tempatan kita akan berkembang dan menerokai francais di seluruh dunia, pada tahun-tahun akan datang. Insya-Allah,” ujar Yang Berhormat Dato.

    Lebih 400 hidangan berjaya dihakimi

    Pada tahun ini, sebanyak 225 buah restoran dan kedai makan menyertai pertandingan bagi tahun kedua diadakan dengan penyediaan lebih 400 hidangan secara keseluruhannya.

    Penilaian adalah berdasarkan standard Metodologi EAT yang digunakan oleh Kejohanan Makanan Dunia dengan mengambil kira pelaksanaan, penampilan dan rasa hidangan tersebut.

    Semasa sesi penghakiman, seramai empat orang hakim yang dilantik secara rasmi dengan adanya pengesahan dari Kejohanan Makanan Dunia.

    Majlis dalam talian berkenaan menyaksikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang mengiktiraf sumbangan restoran kepada industri makanan dan minuman tempatan, lingkungan masyarakat dan negara telah diberikan kepada Excapade Restaurant dan Ayamku Restaurant.

    Sementara itu, anugerah yang mengiktiraf sumbangan individu kepada industri makanan dan minuman tempatan, lingkungan masyarakat dan negara dikenali sebagai Anugerah Pencapaian Insan Cemerlang yang baharu diperkenalkan pada tahun ini telah diraih oleh Thanis Lim dengan Special Mentions kepada Aminggunawan dan Brunei Food Diary.

    Bangkit bersatu tempuhi cabaran

    Menurut Haji Nasir dalam ucapan alu-aluannya, turut menegaskan bahawa semasa gelombang kedua COVID-19 melanda negara, industri makanan dan minuman juga terjejas dengan ketara di mana kira-kira 90 peratus restoran dan kedai makan di negara ini kehilangan 90 peratus hingga 95 peratus daripada pendapatan mereka.

    Tambahnya, kehilangan hasil yang ketara ini mengakibatkan kehilangan pekerjaan bagi kakitangan tempatan dan asing, sehingga ada yang mengakibatkan penutupan beberapa cawangan dan juga membawa kepada penutupan perniagaan mereka.

    “Adalah menjadi harapan tulus diri ini, dengan adanya sokongan dan doa semua masyarakat di negara ini, kita akan dapat mengharungi cabaran tersebut bersama-sama demi berjuang bangkit memperkasakan lagi industri ini dari semasa ke semasa.

    “Perlu diketahui juga industri makanan dan minuman bagaikan food hub di mana dengan adanya anugerah sebegini ia bukanlah hanya semata-mata untuk mempromosikan makanan dan minuman istimewa tetapi juga sekali gus memainkan peranan penting dalam menggabungkan keindahan budaya, sejarah dan tempat-tempat menarik bagi memperkasakan lagi sektor pelancongan negara,” ujarnya lagi.

    Aplikasi BALI mula dilancarkan

    Pada majlis itu, BFA turut melancarkan sebuah aplikasi mudah alih yang dikenali dengan nama BALI iaitu aplikasi mudah alih makanan di mana restoran dan kedai makan boleh mempunyai cawangan digital dan boleh memuat naik menu penuh mereka tanpa sebarang bayaran.

    Aplikasi berkenaan juga akan bertindak sebagai gerbang pembayaran untuk pengunjung di mana mereka boleh membuat pesanan sama ada bawa balik, penghantaran dan tempahan tempat.

    Semua hidangan restoran dan kedai makan yang terlibat dalam BFA 2021 akan dipaparkan dalam buku Anugerah Makanan Brunei 2021 yang akan dikeluarkan tahun depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda