Oleh Nurdiyanah R. –
Dengan bermulanya pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Agama ke Dalam Sistem Pendidikan Umum pada 1 November lalu, mata-mata pelajaran yang lazimnya diajarkan di sekolah-sekolah agama telah diserapkan ke dalam kurikulum pendidikan umum di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa.
Antara tujuan pengintegrasian yang hanya akan melibatkan pelajar-pelajar yang sedang menuntut di peringkat pra sehingga darjah 3 sekolah agama itu adalah untuk menjaga kesejahteraan pelajar dengan mengurangkan beban kerja pelajar dan mengurangkan tempoh masa berada di sekolah, yang diharapkan akan meningkatkan lagi keseimbangan hidup dan kesihatan mental para pelajar.
Dalam hal berkenaan, pelajar-pelajar terlibat akan mengikuti pendidikan agama mereka di sekolah rendah masing-masing. Manakala, para pelajar yang menuntut dalam darjah 4 hingga darjah 6 masih meneruskan pembelajaran di sekolah-sekolah agama seperti lazimnya.
Selain itu, perubahan itu juga diharap akan meningkatkan lagi kecekapan pembelajaran, di mana waktu persekolahan yang semakin berkurang akan memberi ruang kepada guru dan para pelajar untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran lebih berkualiti.
PERLU MINDSET LEBIH TERBUKA
Berdasarkan respons wawancara mengenai pelaksanaan pengintegrasian tersebut yang dikongsikan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), baru-baru ini, rata-rata pihak guru, ibu bapa dan pelajar mengutarakan luahan positif mereka sepanjang mengikuti perubahan tersebut.






Apabila menyentuh mengenai inisiatif pengintegrasian khususnya dari segi kemudahan pergerakan atau transisi kanak-kanak dari sekolah pada sebelah pagi ke sesi agama, Guru Besar Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, Hajah Masriatol Nazahiyah binti Haji Mohammad antaranya berpandangan bahawa ia suatu yang positif walaupun agak mencabar pada awalnya.
Dengan mindset yang terbuka, beliau percaya ia akan memudahkan murid-murid, membolehkan mereka berpindah dengan lancar antara mata pelajaran akademik biasa dan sesi keagamaan.
“Integrasi ini dapat menjimatkan masa dan usaha untuk murid-murid dan guru-guru kerana mereka tidak perlu pergi ke lokasi yang berbeza untuk pendidikan agama.
“Daripada perspektif saya sebagai seorang guru, terdapat beberapa kelebihan dalam perjalanan sekolah dalam integrasi ini. Pertama, ia membolehkan pendidikan yang menyeluruh yang menggabungkan pembelajaran akademik dan agama dengan cara yang selaras.
“Murid-murid dapat membangunkan pemahaman yang menyeluruh tentang pelbagai subjek dan kepercayaan mereka secara serentak,” ujarnya lagi.
Hajah Masriatol Nazahiyah turut menambah dengan mengintegrasikan mata pelajaran agama ke dalam sistem pendidikan umum, ia mendorong keterangkuman dengan memastikan semua murid mempunyai akses kepada pendidikan agama.
Selain itu, ia menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid-murid, kerana mereka terlibat dalam pengalaman dan perbincangan bersama semasa perjalanan sekolah.
Sementara itu, Jurulatih Literasi dan Guru Bahasa Inggeris Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, Hajah Siti Rafeah binti Haji Mohamed Ismail turut mengutarakan secara ringkasnya, jangkaan beliau terhadap inisiatif integrasi ini berkisar pada peningkatan hasil pembelajaran, memupuk penglibatan pelajar, menggalakkan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, memupuk kemahiran kolaborasi dan komunikasi, memupuk kesedaran budaya dan empati, dan mempengaruhi perkembangan pelajar secara positif.
BERI MANFAAT TERTENTU
Di samping itu, Guru Besar Sekolah Rendah Mabohai, Dayangku Hajah Azmida Diana binti Pengiran Haji Damit berkata salah satu kelebihan integrasi ialah mengurangkan bebanan pembelajaran kanak-kanak yang mana sebelum ini kanak-kanak perlu menyiapkan kerja rumah bagi sesi pagi dan sesi petang.
Antara kelebihan lain juga ialah mengurangkan masa pembelajaran kanak-kanak di sekolah supaya mereka mendapat rehat yang cukup rehat untuk hari persekolahan berikutnya.
“Pastinya pihak sekolah berharap agar pengintegrasian ini berjalan dengan lancar dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya pihak sekolah dan ibu bapa,” ujarnya.
Sambutan baik mengenai pengintegrasian berkenaan turut dikongsikan oleh salah seorang bapa kepada pelajar yang menuntut di Sekolah Rendah Mabohai, Awang Julkifli bin Haji Rungging yang menjelaskan bahawa terdapat beberapa manfaat yang boleh diperoleh daripada integrasi ini misalnya mereka tidak perlu lagi membeli banyak barang persiapan seperti beg dan seragam sekolah yang mana seperti lazimnya.
“Bagi saya ia adalah terlalu awal untuk membuat penilaian mengenai pengintegrasian ini.
“Saya menyarankan agar ibu bapa sama-sama memberi sokongan terhadap inisiatif tersebut. Insya Allah, akan ada pembaikan yang akan dibuat oleh pihak yang tertentu dari semasa ke semasa,” tambahnya penuh harapan.
Salah satu kelebihan pengintegrasian pendidikan negara ini turut dikongsikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Jerudong, Dayang Khadijah binti Haji Gapar yang berkata beliau mendapati murid-murid suka dan nampak gembira bergaul bersama kawan-kawan mereka semasa waktu rehat tengah hari sepanjang inisiatif ini dijalankan.
“Malahan, ada peningkatan bagi murid-murid yang stayback semasa makan tengah hari dan dapat mengikuti rutin di mana mereka berehat, mengambil wuduk dan sembahyang bersama-sama.
“Begitu juga kolaborasi bersama guru-guru agama dan guru-guru umum mempunyai kerjasama yang sangat baik dalam mengawasi dan memantau pergerakan murid-murid semasa tengah hari dan balik sebelah petang,” kongsinya lanjut.
Apabila diajukan pertanyaan tentang perasaan merasai pengalaman stayback di sekolah dan makan tengah hari bersama kawan-kawan, dua orang pelajar Tahun 5 dari Sekolah Rendah Jerudong, Dayang Rania Arissa binti Awang Hamzah dan Dayang Nur Aisha Maisara binti Amsharazzi mengungkapkan kegembiraan kerana seronok berkumpul bersama kawan-kawan mereka.
“Kami merasa amat gembira kerana tidak perlu balik ke rumah pada waktu tengah hari untuk mengambil barang keperluan bagi sesi persekolahan petang.
“Begitu juga kami dapat menunaikan sembahyang fardu Zohor berjemaah bersama kawan-kawan dan guru-guru kami,” ucap mereka penuh keterujaan.

