Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Pengiran A Mohd Hasrul Hazami bin Pengiran A Haji Hassan telah memenangi hadiah utama berupa baucar perjalanan ke Kota Kinabalu serta penginapan satu malam di The Palace Hotel, Kota Kinabalu, sempena Promosi Pesta Pengguna ke-29 (CF29) Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), yang berlangsung dari 26 hingga 30 Jun lalu semasa.
Majlis tersebut telah diadakan di Pejabat Pengurusan Korporat Perbadanan TAIB, Airport Mall, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan hadiah-hadiah kepada tiga orang pemenang termasuk dua orang penerima hadiah saguhati bagi promosi berkenaan ialah Ketua Pegawai Sumber Manusia, Perbadanan TAIB, Dayang Sharifah Ratna binti Haji Syed Abdul Rahim.
Majlis berkenaan telah menyaksikan Dayangku Nurul Azirah binti Pengiran Abdullah memperoleh hadiah tempat kedua berupa langganan satu tahun kepada pelan MOBI 18; dan hadiah di tempat ketiga diterima oleh Awang Muhammad Akmal Amzar bin Haji Jumat dengan membawa pulang hadiah berupa bekalan sebulan baucar Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) bernilai $150.
Manakala Awang Mohd Shahrul Nizam bin Haji Damit dan Pengiran Bahrin bin Pengiran Ali masing-masing menerima hadiah saguhati berupa baucar $50 TAIB Merchant Delights.
Promosi CF29 TAIB dilancarkan untuk memberi ganjaran kepada pelanggan baharu dan sedia ada yang terlibat dengan produk dan perkhidmatan Perbadanan TAIB semasa Pesta Pengguna. Para pelanggan yang memohon mana-mana produk pembiayaan Perbadanan TAIB, membuka Akaun Platinum, mendaftar untuk Kad Kredit TAIB, membuka akaun atau membuat pembelian menggunakan Kad Debit, Kad Kredit atau Scan To Pay (STP) di TAIB Merchant Delights dan STP Merchants layak untuk promosi tersebut.
Perbadanan TAIB mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua orang yang menyertai promosi berkenaan. Promosi CF29 TAIB telah dibukakan kepada orang ramai dan berjalan dengan jayanya.