Pengkritik harus serius, komited

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Sebagai seorang pengkritik sastera, haruslah bersikap kritis, tekun, serius, komited dan mempunyai tanggungjawab besar serta berat dalam menilai buruk baiknya atau menilai mutu sesebuah karya itu.

“Mentafsir, menilai di samping membaca berulang-ulang menjadi kewajipan utama untuk memahami karya sastera yang berkaitan dengan teori sastera, teori praktis dan teori teknikal tentang penulisan.”

Perkara itu ditekankan oleh Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Pembukaan Bengkel Kritikan Sastera 2021 yang berlangsung di Dewan Patih Berbai, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Beliau berkata, dalam realiti perkembangan sastera di dunia masa kini, tugas dan tanggungjawab seorang pengkritik semakin berat dan mencabar kerana penulis atau pengarang sudah terbuka dalam menciptakan gaya penulisan dan eksperimen.

“Tentu saja hasil karya mereka bukan hanya bersifat imaginasi tetapi juga mereka telah banyak membuat kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan teori, falsafah dan teknik penulisan sastera dunia yang mutakhir,” tekannya.

Dr Haji Mohd Ali semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.
Dr Haji Mohd Ali dan para peserta bengkel bergambar ramai.

Oleh itu, beliau berkata bahawa seorang pengkritik harus rajin membaca karya-karya sastera mutakhir di samping terus mendalami pelbagai teori kritikan sastera.

Pengkritik juga seharusnya rasional dan berfikir secara kritis dengan memberikan akibat-akibat yang dialami sesudah menghayati dan memahami karya sastera secara adil, saksama dan matang.

“Merenung dengan tajam dan menimbang dengan adil melahirkan pengkritik yang adil, saksama dan dihormati,” tambah beliau.

Seramai 25 orang peserta menyertai bengkel anjuran DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu yang merupakan kegiatan tahunan sebagai usaha berterusan dan berkesinambungan mencari bakat-bakat baharu pengkritik atau peneliti sastera dalam kalangan generasi penulis muda.

Bengkel itu menjadi platform atau wadah yang dapat mendaya upayakan pemikiran kritis penulis muda terhadap teks kreatif sastera yang meliputi aspek penghayatan karya, pemahaman, penilaian dan mencari nilai sastera melalui perbincangan atau analisis.

Dengan adanya bengkel itu, ia dapat membantu penulis muda untuk meningkatkan kemahiran dan menjadi bekalan khususnya kepada para penulis yang mengikuti Peraduan Menulis Kritikan Sastera Bahana DBP yang menjadi kegiatan tahunan jabatan berkenaan.

Bengkel itu dibimbing oleh Dr Haji Morsidi bin Haji Muhamad yang merupakan pengkritik, peneliti dan pengkaji sastera yang tidak asing dalam arena penulisan kritikan sastera dan telah menghasilkan buku-buku akademik berbentuk kajian sastera.

Bengkel selama tiga hari itu, dapat membantu penulis muda mempelajari ilmu yang baharu, segar dan menarik serta berupaya membongkar nilai sastera melalui penilaian kritikan sastera yang berkualiti.

Antara matlamat bengkel adalah untuk memberi bimbingan dan asuhan kepada penulis muda yang baru berjinak-jinak dalam penulisan kritikan sastera, mengembang maju pengetahuan dan pemikiran penulis muda dalam penulisan kritikan sastera, memberikan pendedahan terhadap penerapan teori dengan pengaplikasian terhadap sesebuah kajian serta menyedia ruang dan peluang bagi para penulis untuk menghasilkan esei kritikan sastera dengan memanfaatkan teori dan pendekatan sastera.