Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Penglibatan belia menjana kerjasama serantau

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan KKBS

    Delegasi belia ASEAN dari Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Malaysia, Republik Kesatuan Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand, Republik Sosialis Vietnam dan Republik Korea (ROK) telah menghadiri Dialog Belia ASEAN Pertama yang berlangsung di Siem Reap, Kemboja pada 25 hingga 26 Julai lalu.

    Semasa dialog belia berkenaan, para delegasi belia telah membincangkan pelbagai isu yang memberi kesan kepada belia ASEAN dan bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan belia di serata ASEAN dan ROK serta pihak-pihak berkepentingan yang lain dalam meraih matlamat dan peluang daripada Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR) serta menangani cabaran-cabaran pemulihan pasca pandemik.

    Para delegasi belia juga membincangkan idea dan cadangan dalam lapan bidang tematik yang mewakili suara belia mengenai bagaimana kerajaan ASEAN dan ROK dapat belajar antara satu sama lain dan bekerjasama dalam pemulihan pandemik, bagaimana inovasi sosial dan teknologi termasuk kolaborasi antara generasi boleh merapatkan jurang pembangunan negara-negara anggota ASEAN dalam era pasca pandemik dan bagaimana kerjasama ASEAN-ROK dapat menjana lebih banyak peluang bagi belia daripada kedua-dua rantau untuk lebih bersedia bagi masa hadapan.

    Ke arah itu, delegasi belia ASEAN dan ROK yang bersidang mengemukakan cadangan-cadangan yang dipersetujui bersama yang meliputi lapan bidang tematik iaitu urus tadbir, sains, teknologi dan inovasi, masa hadapan pekerjaan, infrastruktur dan kesalinghubungan, pertumbuhan mampan dan inklusif, pergerakan perubahan iklim melalui pendekatan pencegahan dan kuratif, mengurangkan jurang pembangunan antara negara-negara anggota ASEAN serta pertukaran warga ASEAN-ROK.

    Menyentuh mengenai urus tadbir, delegasi belia yang bersidang mempersetujui cadangan penyeragaman tumpuan pembangunan kemahiran dan ilmu pengetahuan di serata sistem pendidikan dengan mendidik semua belia bagaimana untuk menangani cabaran-cabaran jurang digital yang merangkumi perbezaan dalam tahap literasi dan kesedaran digital serta akses yang terhad kepada sumber-sumber dalam talian.

    Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad bersama menteri-menteri belia ASEAN dan perwakilan peringkat tertinggi yang lain telah menghadiri majlis perasmian Dialog Belia ASEAN Pertama yang berlangsung, baru-baru ini.

    Mereka turut mencadangkan bagi mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat untuk mengajar kemahiran baharu dan membantu belia mendapatkan kesedaran penuh Internet Communication Technology menerusi pendidikan berkualiti terutamanya di kawasan-kawasan terpencil serta mempercepatkan pendigitalan dengan mengadakan bengkel dan seminar antara rantau dengan kolaborasi ASEAN dan ROK.

    Para delegasi belia juga mencadangkan untuk meningkatkan promosi dan memperbaiki dasar-dasar belia menerusi majlis-majlis belia kebangsaan dan institusi pendidikan supaya dapat memperkasa belia bagi meraih manfaat daripada bantuan teknikal dan tajaan pembangunan yang sedia ada.

    Sementara itu, berhubung dengan sains, teknologi dan inovasi, delegasi belia yang bersidang mempersetujui bahawa tujuan inovasi teknologi dan sains adalah untuk mengekalkan kesalinghubungan dan meningkatkan kolaborasi.

    Mereka juga mengambil maklum mengenai pentingnya untuk meningkatkan akses Internet dan teknologi bagi semua, perlunya untuk menubuhkan sebuah platform universal yang hanya memerlukan jalur lebar yang rendah dan memupuk sebuah ekosistem di mana penyelidikan saintifik dapat menjana lebih banyak pengaruh dalam proses membuat keputusan golongan belia untuk menangani isu-isu masyarakat.

    Manakala itu, berhubung dengan masa hadapan pekerjaan, delegasi belia yang bersetuju bahawa mengintegrasikan literasi dan peralatan digital dalam asas pendidikan dapat memudahkan peralihan sekolah ke pekerjaan serta penyeragaman pensijilan juga dapat memudahkan permohonan pekerjaan di serata ASEAN dan mengesahkan kemahiran merentas sempadan.

    Mereka juga mencadangkan untuk integrasi yang lebih mendalam bagi latihan pekerjaan dan memupuk kemahiran kebolehkerjaan dalam kurikulum pendidikan untuk meningkatkan perkaitan kepada pembangunan ekonomi serantau dan tempatan.

    Para belia yang bersidang juga mencadangkan perlunya untuk memastikan hak dan keselamatan pekerja di semua sektor dari segi gaji dan kebajikan mereka dijaga.

    Bagi infrastruktur dan kesalinghubungan, delegasi belia yang bersidang mencadangkan perlunya ada pengagihan infrastruktur yang saksama di semua bidang dengan pengagihan semula dana pihak-pihak yang berkepentingan untuk membina infrastruktur penting seperti kemudahan awam dan perkhidmatan awam di negara-negara anggota ASEAN yang memerlukan. Pihak kerajaan juga harus mempertimbangkan kemampanan infrastruktur dengan mengagihkan peruntukan bagi penyelenggaraan.

    Mereka juga mencadangkan perlunya pembangunan kapasiti bagi sumber manusia yang berkhidmat dalam pembangunan kemudahan awam dengan menjana akses, sumber dalam talian yang saksama, sokongan pakar di serata negara-negara anggota ASEAN dengan menganjurkan bengkel serta program pertukaran bagi memupuk perkongsian ilmu pengetahuan.

    Para delegasi belia yang bersidang menyentuh mengenai pertumbuhan mampan dan inklusif, mencadangkan kanak-kanak yang tidak memperoleh penjagaan ibu bapa disebabkan oleh kesan jangka pendek dan jangka panjang COVID harus diberikan sumber dan sokongan sosial serta emosi yang mencukupi menerusi penubuhan program-program sokongan oleh kerajaan, organisasi kerajaan dan NGO bagi memastikan pertumbuhan peribadi yang teratur, komprehensif dan selamat.

    Menyentuh mengenai pergerakan perubahan iklim, para delegasi belia mencadangkan bagi melaksanakan pendekatan serampang dua mata (two-pronged approach) untuk menangani masalah yang dibawa oleh perubahan iklim di ASEAN dan ROK khususnya melalui pendekatan pencegahan dan kuratif.

    Antara cadangan bagi pendekatan pencegahan adalah untuk memperkasa kumpulan advokasi belia di ASEAN dengan menyediakan dana serantau bagi program-program mereka dan melibatkan mereka dalam proses konsultatif bagi penggubalan dasar berkaitan iklim.

    Untuk menyokong inisiatif pembiayaan itu, ASEAN harus menetapkan peruntukan tahunan bagi menyokong kumpulan-kumpulan advokasi belia yang baharu dan yang sedia ada.

    Pendekatan pencegahan yang turut dicadangkan oleh delegasi belia adalah bagi pendidikan yang menumpukan kepada perubahan iklim untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan belia.

    Kurikulum sekolah, cadang mereka lagi, harus memasukkan isi kandungan pelajaran, projek dan praktikal yang berkaitan dengan perubahan iklim ke dalam mata pelajaran sekolah yang sedia ada seperti mata pelajaran fizik dan kimia.

    Untuk mengurangkan akses yang tidak saksama kepada kemudahan dan sumber pendidikan, negara-negara anggota ASEAN harus meningkatkan kerjasama dengan NGO dalam ASEAN yang melaksanakan tindakan bagi perubahan iklim.

    Delegasi belia ketika mencadangkan pendekatan kuratif menyatakan perlunya untuk mempromosi kerjasama awam-swasta dalam penyesuaian perubahan iklim dengan melibatkan perbincangan atau dialog antara kerajaan ASEAN dan pihak yang berkepentingan sektor swasta berkaitan dasar-dasar berhubungan iklim.

    Menerusi dialog berkenaan, negara-negara anggota ASEAN dapat mengenal pasti bidang-bidang utama bagi sokongan dan pertumbuhan yang diperlukan daripada perniagaan hijau baharu.

    Mereka juga mencadangkan bagi penubuhan sebuah jawatankuasa kecil ASEAN untuk menggubal dan melaksanakan langkah-langkah untuk mengawal selia negara-negara anggota ASEAN dengan memantau dan menilai potensi impak dan impak alam sekitar mereka pada masa ini, penggunaan tenaga, sisa hasil sampingan dan pencemaran.

    Sementara itu, dalam mengurangkan jurang pembangunan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN, delegasi belia mencadangkan bagi mengembangkan lagi program pertukaran pelajar dalam kalangan komuniti ASEAN-ROK di mana belia dapat mempelajari kemahiran teknologi yang boleh mengurangkan jurang bandar-pedalaman (urban-rural gap) yang dibawa oleh 4IR di dalam komuniti ASEAN-ROK serta meningkatkan program pertukaran guru yang akan menyediakan idea mengenai kurikulum pendidikan masing-masing dalam komuniti ASEAN-ROK.

    Mereka juga mencadangkan bagi penyertaan belia ASEAN dan ROK dalam keusahawanan dengan meningkatkan penjanaan program hackathon dan menyediakan sumber yang akan membantu belia untuk memulakan perniagaan dengan kemahiran yang diperlukan serta terus membangunkan perniagaan mreka. Manakala itu, bagi pertukaran warga ASEAN-ROK, delegasi belia yang bersidang mencadangkan perlu adanya program yang memberikan ruang untuk tindakan dan mengetengahkan peranan kerjasama antara organisasi ASEAN-ROK.

    Penekanan kepada pertukaran warga tidak harus diberikan secara individu sahaja tetapi juga secara kolektif di mana menerusi perkongsian sasaran dan matlamat yang serupa bagi organisasi, pelaksanaan pertukaran warga di antara ASEAN dan ROK akan berjalan dengan lebih efektif serta memberikan kesan yang meluas kepada mereka melalui pelan tindakan bersepadu.

    Program-program pertukaran juga harus dikendalikan dengan adil dan saksama tanpa mengira status, jantina, usia dan aspek lain kerana dengan lebih ramai orang mengambil bahagian serta diintegrasikan bererti lebih banyak peluang serta sumbangan yang diberikan.

    Oleh itu, delegasi belia yang bersidang menyatakan program-program pertukaran bagi warga ASEAN dan ROK harus mempertimbangkan kebolehcapaian kumpulan kurang bernasib baik dan terpinggir dalam komuniti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...