Oleh Haniq Raffael
APA yang pasti kadar pengangguran dalam kalangan siswazah dirasakan semakin bertambah setiap tahun, apakah puncanya dan adakah ia relevan berlaku kepada para pelajar lepasan Universiti? Apakah sebenarnya masalah yang menyebabkan mereka menjadi penganggur? Namun apa yang pasti, kebanyakan mereka masih mencari kerjaya yang dirasakan bersesuaian dengan status mereka sebagai lepasan universiti.
Namun di era yang serba mencabar ini cara pemikiran minda graduan yang beranggapan lebih baik menganggur selagi belum ada kerja yang sesuai seharusnya dibuang kerana sikap ini merugikan diri sendiri dan sektor pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja.
Sebenarnya terdapat pelbagai alternatif untuk mereka mengisi masa kekosongan mereka sementara mencari pekerjaan yang bersesuaian mengikut kemahuan dan pilihan mereka bahkan ada sesetengah pekerjaan sampingan yang dilakukan malah menjadi satu pekerjaan tetap mereka kerana adanya keserasian yang dirasakan sebagi contoh, mereka boleh memulakan perniagaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang telah dipelajari semasa menuntut di universiti jika ianya di dalam bidang perniagaan Ini kerana, pelajar universiti telah sedia dilatih dengan ilmu semangat keusahawanan yang membolehkan mereka berniaga sendiri yang ternyata boleh membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan kerana pendapatan adalah atas hasil usaha sendiri.
Semangat dan sokongan
Malahan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan ini tidak juga semestinya berpandukan kepada kebolehan kerana apa yang penting ialah semangat dan sokongan keluarga serta orang sekeliling dan juga modal yang setimpal untuk satu-satu perniagaan yang hendak dilakukan. Ini terbukti apabila penulis sendiri sempat menemu bual dengan tiga belia yang melibatkan diri mereka dalam perniagaan kecil-kecilan bertempat di Pasar Pelbagai Barangan Gadong baru-baru ini.


Tiga sahabat ini yang memang sudah lama mengenali satu sama lain semasa lagi dibangku pengajian berkata, mereka bertiga memulakan perniagaan dengan menjual jenis makanan seperti nasi beserta kambing, fries, hotsausage, hot coffee pada awal bulan Februari 2017 dan ianya masih baru bagi mereka bertiga di dalam melibatkan diri di bidang perniagaan seperti ini. “Dengan bermodalkan hasil daripada modal sendiri dan juga pertolongan keluarga, kami bertiga memulakan usaha niaga kami ini yang diberi nama Truly For You Kiosk dan usaha kami ini juga mendapat sokongan yang padu daripada keluarga tercinta,” ujar Awang Firdaus, Awang Safwan dan Dayang Haziqah.
“Saya adalah salah seorang ahli daripada Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) dan dari sini saya berjumpa dengan pelbagai peringkat ahli yang sememangnya mempunyai pelbagai pengalaman yang berbeza di dalam bidang perniagaan dan dari sini saya mengambil peluang untuk bertanya serta bertukar-tukar informasi juga pendapat tentang selok-belok di dalam menjalankan perniagaan,” kata Awang Mohd Safwan bin Muhd Hamri, 27 tahun dan berasal dari Kampung Kilanas.
Sementara bagi Dayang Nurul Haziqah binti Md Suffian, 26 tahun dari Kampung Bunut pula menjelaskan dengan berbekalkan pengalaman semasa bekerja untuk Redbull Brunei sebagai Part-time Sales Assistant serta pengalaman semasa membantu nenek di kampung berjual makanan di depan halaman rumah sedikit sebanyak membantu dirinya di dalam menguruskan perniagaan yang dijalankan bersama rakan-rakannya di Pasar Gadong ini.
Berbeza pula dengan Awang Muhd Ahmad Firdaus bin Khalid, 25 tahun yang merupakan lepasan dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT University) berkata sebelum ini hanya membantu kedua ibu bapanya yang mempunyai perusahaan sendiri di salah sebuah kantin kerajaan yang sudah beroperasi lebih dari 10 tahun dan dari sini serta minat di dalam Usaha katering juga mendorongnya untuk lebih giat di dalam aktiviti berniaga yang kini dijalankan bersama teman-temannya.

Menurut Dayang Haziqah pula, sebenarnya mereka bertiga memulakan perniagaan itu bagi menyambut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga kerajaan Baginda untuk melahirkan lepasan graduan yang berjaya dalam bidang keusahawanan. Menurut tiga sahabat ini lagi minatnya dalam perniagaan berputik sejak melanjutkan pelajaran kerana percaya dengan berniaga dia mampu membaiki kualiti kehidupan kerana yakin ia boleh membawa saya lebih ke depan dan berdaya saing.
Fokus dalam perniagaan
Ketika rakan lain sibuk mencari kerja selepas menamatkan pengajian, mereka terus mencari dan mengali ruang untuk fokus pada perniagaan kerana dari sini ia mampu di dalam membantu ekonomi negara tak kiralah ianya berupa perniagaan kecil-kecilan dan sederhana atau yang sudah dikenali. “Menyentuh mengenai menu, kebanyakan resepi-resipi yang digunakan adalah resipi yang diturunkan oleh nenek dan juga ibu kami selain belajar dan mencuba membuat kajian sendiri,” tambah Awang Firdaus, Awang Safwan dan Dayang Haziqah.
Di sepanjang perjalanan mengharungi dunia perniagaan, ketiga-tiga sahabat ini memanjatkan rasa syukur kerana diberikan keuntungan dalam perniagaan mereka dan ini juga merupakan salah satu cara di dalam memberikan mereka motivasi untuk terus aktif lagi dalam bidang perniagaan. Malah untuk perancangan masa depan, tiga sahabat ini ingin terus aktif dalam perniagaan mereka. “Kami tak bercadang untuk berniaga separuh jalan kerana selepas mendapat sambutan menggalakkan, kami merancang untuk mengembangkan perniagaan ini,” jelas Awang Firdaus kepada penulis.
“Nasihat kami bertiga selaku lepasan graduan kepada golongan siswa, anda perlu berani mencuba bidang perniagaan atau keusahawanan. Tidak semestinya bermula dengan modal besar kerana secara kecil-kecilan sudah memadai untuk mengumpul pengalaman dan persepsi orang ramai terutama siswa dan ibu bapa kononnya hanya kerja kolar putih dapat mengukur kejayaan seseorang perlu diubah,” tambah Awang Firdaus, Awang Safwan dan Dayang Haziqah mengakhiri temu ramah.